8/6/10

Kampung Relau seperti dipinggirkan


Sinar Harian 6 Ogos 2010

KAMPUNG RELAU - Bukan sahaja tiada kemudahan asas, malah penduduk di Kampung Relau, dekat sini tinggal di kawasan yang dipenuhi semak-samun, jauh dari pembangunan sejak kira-kira 40 tahun lalu.

Lebih unik, walaupun berada di satu kampung, tetapi sebenarnya kampung berkenan terletak di sempadan negeri menyebabkan sebahagian penduduk kampung itu sebenarnya berada di bawah jajahan Johor.

Mungkin kerana itu, Kampung Relau seolah-olah terasing daripada usaha pembangunan serta sebarang usaha naik taraf sehingga mereka terpaksa tinggal di kawasan serba kekurangan, bersemak-samun dan dikelilingi belukar.

Malah, penduduk mengakui 'cemburu’ dengan kemajuan kampung lain bersebelahan yang dilimpahi kemajuan.

Seorang penduduk, Kamarudin Mat Aris, 49, berkata, dia dan beberapa penduduk yang tinggal di hujung Kampung Relau berada dalam negeri Melaka dan kira-kira 10 penduduk lagi tinggal di negeri Johor.

“Seingat saya, sepanjang lebih 30 tahun saya tinggal di sini, hanya sekali sahaja jalan masuk kampung ini ditar. Tetapi kini, jalan sudah sempit kerana semak-samun di kiri kanan jalan, terutama sepanjang kira-kira 1.5 kilometer dari simpang keluar," katanya.

Menurutnya, jalan berkenaan juga hanya muat untuk sebuah kenderaan pada satu-satu masa, tetapi turut diancam binatang berbisa daripada belukar bersebelahan.

“Penduduk diancam binatang seperti ular tedung, babi hutan dan ular sawa. Beberapa tahun lalu, ada penduduk kehilangan anak berusia dua tahun akibat dipatuk ular tedung selar di laluan ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi berkenaan.

Kamarudin berkata, nasib penduduk kampung itu berbeza dengan dua kampung berhampiran, Kampung Raja dan Kampung Sialang yang mendapat kemudahan asas mencukupi.

Menurutnya, kedua-dua kampung itu berada di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sialang, Tangkak, Johor.

"Berbeza dengan kita yang tinggal di sini terus serba kekurangan seolah-olah dipinggirkan. Tiang lampu di sini kurang dan hanya ada beberapa saja yang berfungsi.

“Begitu juga kemudahan telekomunikasi agak terhad kerana ketiadaan tiang telefon," katanya.

Selain itu, Kamarudin berkata, rumahnya juga beberapa kali diancam banjir kilat disebabkan sistem perparitan sekitar kawasan itu tidak pernah dinaiktaraf.

"Pengadang jambatan merentangi sungai kecil masuk ke rumah saya juga sudah lama tumbang dan belum dibaiki sehingga sekarang.

“Sememang saya berasa amat susah hati dengan keadaan ini, bukan hanya saya seorang malah peberapa penduduk lagi. Harap pemimpin kawasan boleh datang dan bertanya masalah orang kampung di sini,” katanya.

Kamarudin turut meminta agar jabatan serta agensi berkaitan mengambil tindakan membersihkan kebun tuan tanah tidak diusahakan sehingga menjejaskan kawasan persekitaran.

Ini kerana, katanya, mengikut undang-undang, tanah terbiar tidak diusahakan boleh diambil kerajaan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Damri Sapar, 67, berkata selama ini penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri membersihkan kawasan semak dan belukar berdekatan.

Dia yang tinggal di kawasan jajahan Johor berharap kerajaan memgambil perhatian permasalah kampung itu.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8031963.asp

0 comments: