8/17/10

Keluarga daif di Johor

Berita Harian 17 Ogos 2010

ENDAU: “Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Saya sudah tidak tahu lagi ke mana hendak mengadu,"kata seorang ibu yang juga orang kurang upaya (OKU), Iadayati Ahmad, 37, yang terbabit dalam kemalangan jalan raya sembilan tahun lalu.

Lebih menyayat hati, kejadian pada 2001 di persimpangan Jalan Kota Tinggi-Kulai meragut nyawa suaminya, Md Amin Marsat. Beliau yang koma selama dua tahun enam bulan terlantar di hospital tanpa mengetahui nasib suaminya. Selepas pulih daripada kecederaan, beliau berulang-alik ke mahkamah untuk proses tuntutan insurans beliau dan suaminya.

Katanya, syarikat insurans hanya memberikan pampasan sebanyak RM4,000 dan sebahagiannya digunakan untuk membayar khidmat peguam.

“Dengan RM2,000, apa sangat yang boleh dilakukan, sedangkan kos berulang-alik ke mahkamah lebih daripada itu, ” katanya kepada Edisi Johor.

Beliau yang mempunyai dua anak, masing-masing berumur sembilan dan 15 tahun hanya bergantung hidup dengan elaun OKU yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.
Kini, beliau berumahtangga dengan Abdul Lani Mohamad, 47, suami barunya yang hanya bekerja sebagai buruh dan masa yang sama menghidap asma.

Katanya, atas ihsan ibu mentua, mereka sekeluarga menumpang berteduh di rumah yang serba daif.

“Saya memohon kepada sesiapa yang boleh membantu supaya kes itu dibuka kembali kerana saya berhak untuk memohon pampasan daripada syarikat insurans berikutan kejadian berkenaan.

“Saya menerima notis daripada peguam supaya menandatangani dokumen untuk menutup kes itu tanpa alasan kukuh, ” katanya.

Katanya, beliau pernah meminta khidmat Biro Bantuan Guaman Johor Bahru tetapi diarahkan merujuk perkara berkenaan di ibu pejabat biro di Kuala Lumpur.

Iadayati berkata , baru-baru ini doktor mengesahkan beliau menghidap penyakit jantung akibat kemalangan sembilan tahun lalu.

“Kini, saya terpaksa berulang-alik ke hospital untuk rawatan sakit jantung dan sedang menunggu tarikh untuk temu janji dengan doktor pakar di Johor Bahru,” katanya.

Beliau yang cedera parah dan dimasukkan besi pada kaki dan tempurung lutut yang pernah terkeluar, hanya berdaya membuat kerja ringan.

“Saya berharap ada pihak sudi membantu untuk membuka semula kes berkenaan.

“Sekiranya syarikat insurans membayar pampasan yang sepadan dengan kecederaan yang saya alami dan kematian Allahyarham suami, dapatlah saya membesarkan dua anak yang masih bersekolah,” katanya yang tidak mampu bekerja.

Sesiapa yang ingin menghulurkan pertolongan dan mendapatkan penjelasan lanjut boleh menghubungi beliau di alamat Nombor 54, Jalan Masjid, Felda Endau, 86900 Endau, Mersing, Johor atau telefon 017-7656447.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Keluargadaif/Article

0 comments: