Berita Harian 9 Ogos 2010
Penduduk tahan busuk, sesak nafas akibat sisa buangan kilang berhampiran
ALOR GAJAH: Kira-kira 20 keluarga di Kampung Solok Air Mentangor, Sungai Petai, dekat sini, kesal dengan tindakan pengurusan kilang berhampiran kediaman mereka yang membuang sisa buangan sesuka hati menyebabkan longkang tercemar dan penduduk diancam bau busuk. Mereka mendakwa, kebanyakan kilang di situ membuang sisa dipercayai daripada bahan plastik dengan sewenang-wenangnya ke dalam sungai dengan menyalurkan bahan buangan itu terus ke dalam longkang tanpa memikirkan kesannya. Seorang penduduk, Abdul Malik Omar, 40, berkata mereka tidak tahan menghidu bau yang busuk seperti najis terutama apabila angin bertiup.
Beliau berkata, penduduk bukan saja tidak selera makan tetapi malu kepada rakan dan keluarga yang datang menziarah kerana bau busuk dari sisa buangan kilang berkenaan yang mengalir ke longkang berhampiran rumah mereka.
Katanya, akibat pembuangan sisa kilang disalurkan ke longkang konkrit terbabit terutama ketika hujan, airnya yang jernih sebelum ini berubah menjadi hitam dan berminyak.
“Akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini, hidupan air tawar di dalam longkang berkenaan turut terancam, malah mengalami kepupusan.
“Saya sebelum ini pernah menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri untuk memaklumkan mengenai masalah berkenaan, tetapi sehingga kini ia masih belum dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, kelmarin.
Tinjauan Berita Harian di kawasan itu mendapati, terdapat kesan sisa buangan seperti tompokan minyak dan pepejal berwarna kuning dipercayai bahan kimia melekat di longkang konkrit kecil terbabit sebelum dipercayai mengalir ke Sungai Durian Tunggal.
Semua bahan yang disalirkan ke dalam longkang itu juga dipercayai menyebabkan airnya bertukar kepada warna hitam.
Sisa buangan berkenaan dikesan dari longkang konkrit kawasan perindustrian yang menempatkan pelbagai kilang, termasuk kilang plastik, kejuruteraan dan makanan.
Difahamkan, masalah yang sudah berlarutan sejak 15 tahun lalu itu turut menyebabkan penduduk di situ mengalami masalah kesihatan seperti sesak nafas.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Salmah, 55, berkata pencemaran itu perlu didedahkan kerana isu pencemaran berkenaan menyebabkan kehidupan penduduk tidak sempurna.
“Kami percaya pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa buangan ini ketika hujan lebat dengan harapan bahan itu cepat mengalir jauh dari tempat mereka bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Pihak berkuasa terutama JAS perlu mengambil tindakan segera mengesan mereka yang membuang sisa buangan ini sebelum kegiatan itu berleluasa,” katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_Longkangtercemar/Article
0 comments:
Post a Comment