Pendekatan polis ketika ini bersembunyi di sebalik pokok atau di kawasan terlindung bagi merakam kesalahan memandu perlu diubah jika kita berhasrat mendidik pemandu supaya mematuhi peraturan jalan raya. sepatutnya, ia dilakukan di kawasan terbuka, sekali gus dapat mendidik pemandu supaya mematuhi peraturan ditetapkan, bukannya takut dengan kehadiran pegawai penguat kuasa.
****************************
Minda Pengarang: Batal senarai hitam bukan penyelesaian atasi saman tertunggak
Berita Harian 13 Ogos 2010
KEPUTUSAN Kabinet menarik balik tindakan menyenaraihitamkan pesalah trafik buat sementara, bermula serta-merta hingga 28 Februari tahun depan, tentunya melegakan mereka yang terbabit. Dengan keputusan itu, pesalah trafik yang mempunyai saman boleh membayarnya sama ada secara penuh atau ansuran dalam tempoh kelonggaran itu.
Mereka juga boleh memperbaharui cukai jalan, tanpa dikenakan sekatan. Ramai yang menyifatkan langkah itu menggambarkan keprihatinan kerajaan dalam mendengar rayuan rakyat berhubung kesulitan kewangan yang dihadapi, terutama pada ketika rakyat sedang membuat persiapan menghadapi Ramadan dan musim perayaan tidak lama lagi.
Namun, pesalah trafik perlu mengambil peluang dalam tempoh kelonggaran itu menyelesaikan tunggakan saman mereka kerana penarikan itu tidak bermakna saman mereka dihapus kira atau mendapat diskaun terhadap kesalahan yang dilakukan. Penarikan balik tindakan menyenarai hitam pesalah trafik itu tentunya melegakan, apatah lagi sambutan perayaan utama seperti Aidilfitri, Deepavali, Krismas serta Tahun Baru Cina dalam tempoh penangguhan itu.
Sebelum mengambil tindakan itu, kita percaya kerajaan sudah menimbang pelbagai rungutan orang ramai dan kesan kepada setiap penganut agama dalam membuat persiapan menyambut hari kebesaran masing-masing. Sebelum ini, polis sudah menyerahkan notis saman kepada lebih 2.5 juta pemilik kenderaan sejak September 2009. Daripada jumlah itu, sebanyak 1.07 juta pengguna lalu lintas melakukan kesalahan dan mengabaikan saman disenaraihitamkan sejak ia dikuatkuasakan pada 15 April lalu.
Tidak dinafikan, tindakan saman ekor sedikit sebanyak memberi kesan dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya, terutama di laluan maut yang dikenal pasti. Bagaimanapun, sudah sampai masanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai mekanisme pelaksanaan saman ekor ini supaya ia benar-benar berkesan dalam mendidik pemandu berhemah di jalan raya.
SAMAN EKOR TIDAK HARUS DILIHAT SEBAGAI SUMBER PENDAPATAN KERAJAAN, SEBALIKNYA PERLU DILIHAT SEBAGAI TINDAKAN MENGHUKUM PEMANDU KENDERAAN YANG TIDAK MEMATUHI PERATURAN LALU LINTAS.
TUNGGAKAN SAMAN BERNILAI BERJUTA-JUTA RINGGIT DAN MENINGKATNYA PENGELUARAN NOTIS SAMAN DARI SETAHUN KE SETAHUN MENUNJUKKAN ADA KELEMAHAN DALAM PROGRAM MAJLIS KESELAMATAN JALAN RAYA (MKJR) MENDIDIK PEMANDU DI NEGARA INI.
PENDEKATAN POLIS KETIKA INI BERSEMBUNYI DI SEBALIK POKOK ATAU DI KAWASAN TERLINDUNG BAGI MERAKAM KESALAHAN MEMANDU PERLU DIUBAH JIKA KITA BERHASRAT MENDIDIK PEMANDU SUPAYA MEMATUHI PERATURAN JALAN RAYA. SEPATUTNYA, IA DILAKUKAN DI KAWASAN TERBUKA, SEKALI GUS DAPAT MENDIDIK PEMANDU SUPAYA MEMATUHI PERATURAN DITETAPKAN, BUKANNYA TAKUT DENGAN KEHADIRAN PEGAWAI PENGUAT KUASA.
Langkah sebegini sudah lama diamalkan di negara maju dan ia didapati berkesan mendidik pemandu mematuhi peraturan lalu lintas. Yang pasti, pemandu kenderaan di luar negara, terutama di Barat dan Jepun begitu mematuhi undang-undang jalan raya walaupun tanpa kehadiran polis, berbanding di negara ini yang mana rakyatnya mematuhi undang-undang jika melihat adanya polis.
Jika budaya menghormati undang-undang dapat dipupuk sejak di bangku sekolah lagi, kita percaya tidak timbul lagi soal tunggakan bayaran saman ekor pada masa depan, selain berkurangnya kemalangan jalan raya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MindaPengarang_Batalsenaraihitambukanpenyelesaianatasisamantertunggak/Article
0 comments:
Post a Comment