8/25/10

Rakyat Sekitar Tasik Bukit Kepong Mungkin Terdedah Bahaya Nuklear


Oleh Faizal Ezzany - Suara Keadilan

PORT DICKSON 23 Ogos - Demi kepentingan politik Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan didakwa sedang melobi Perdana Menteri secara senyap untuk menjadikan

Tasik Bukit Kepong sebagai tapak pembinaan loji nuklear pertama di Malaysia tanpa pengetahuan penduduk setempat.

Pendedahan ini dibuat oleh sebuah blog, singalautmetro, yang mengatakan ini antara sebab mengapa Tasik Bukit Kepong yang terletak berdekatan dengan Kampung Bukit Tembok di Port Dickson sengaja dirosakkan oleh kerajaan negeri.

Menurut blog itu kenyataan Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Datuk Dr Daud Mohamad bahawa terdapat beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan dan Peraksedang melobi untuk menempatkan loji nuklear tersebut menguatkan lagi dakwaan blog tersebut.

Sambil menyifatkan tasik itu bakal menjadi tapak 'bom jangka', singalautmetro berkata Tenaga Nasional Berhad akan dilantik sebagai pihak yang bertanggungjawab melaksanakan projek berkenaan.

Blog itu mendakwa kawasan tasik itu akan terus menjadi panas sepanas loji berkuasa 1,000 MW yang dikatakan berupaya menghasilkan tenaga di antara 14,000 hingga 18,000 MW.

Pembinaan loji nuklear pertama di negara ini adalah bagi menampung sumber tenaga yang sedia ada yang dianggarkan membabitkan kos antara RM6.5 bilion hingga RM9.75 bilion.

Menurut blog itu lagi, bentuk mukabumi Tasik Bukit Kepong adalah istimewa kerana ia berbentuk kawah kira-kira 15 meter di bawah paras tebing, serta mempunyai ciri kawasan pemampan lebih 10 kilometer dan mampu menyediakan tapak sekurang-kurangnya 80 hektar seperti disyaratkan sebagai tapak loji nuklear.

Keluasan tasik itu melebihi 1,000 hektar, menjadikannya cukup sesuai bagi tujuan pembinaan loji nuklear.

Semua ciri-ciri ini dikatakan telah menarik minat, Datuk Seri Najib Razak berbanding lokasi lain.

Kewujudan Stesen Janakuasa Elektrik Tuanku Jaafar di Port Dickson menjadikan Tasik Bukit Kepong sebagai pilihan menarik kerana ia menepati jarak dan keperluan teknikal untuk dijadikan kembar kepada loji yang bakal dibina.

Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas yang ditemui Suara Keadilan ketika meninjau kawasan tersebut berkata buat masa ini pihaknya tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung dakwaan yang dibuat blog tersebut.

"Apa yang pasti sekarang saya mahu jawapan daripada Jabatan Parit dan Saliran (JPS) berhubung tindakan mereka merobohkan pintu air di kawasan berkenaan. Bagi saya pintu air ini digunakan untuk mengawal kawasan yang berada di sebelah bawah daripada dilanda banjir apabila tiba musim hujan ataupun ketika hujan lebat.

"Kita mahukan jawapan yang jelas dari JPS kenapa mereka mengambil tindakan itu. Dalam keadaan hujan sekarang beberapa kawasan di sebelah bawah seperti ladang sawit sudah mula dibanjiri air apatah lagi bila tibanya musim tengkujuh pada bulan Disember nanti," kata Kamarul.

Tambahnya, persoalan yang dibangkitkan oleh blog itu akan terjawab apabila beliau menerima penjelasan daripada JPS.

Beliau mengambil tindakan melawat kawasan tersebut apabila timbul desas desus mengatakan ia bakal menjadi tapak loji nuklear.

Ini terbukti apabila keadaan tasik tersebut yang semakin kering airnya.

"Sudah tentulah kerajaan negeri mahupun JPS tidak akan meruntuh dan merobohkan sebuah empangan yang sebegitu besar yang dibina sejak merdeka, kalau tiada tujuan besar di sebaliknya," kata Kamarul lagi.

Walaupun keputusan pemilihan lokasi hanya akan diumumkan oleh Najib pada 2012, pembinaan loji yang dijangka bermula 2015 itu pasti mencetuskan isu baru di peringkat nasional.

Sikap dan cara kerajaan negeri membuat keputusan membelakangkan penduduk dijangka menjadi faktor utama ia akan mendapat tentangan besar-besaran rakyat Negeri Sembilan.

http://suara-keadilan.com/news-section?t=3812

0 comments: