8/2/10

Rumah kami di Johor retak

Berita Harian 2 Ogos 2010

Penduduk Kiara Hill, Taman Nusa Indah dakwa kerja letup tanah projek pembinaan tangki air, rumah pam jadi punca

NUSAJAYA: Kira-kira 100 rumah di Perumahan Kiara Hill, Taman Nusa Indah, di sini mendakwa terjejas dan mengalami keretakan akibat kerja pembinaan tangki air dan rumah pam di satu kawasan berbukit seluas kira-kira 7.2 hektar yang bersempadan dengan taman berkenaan sejak lebih setahun lalu. Difahamkan, projek pembinaan tangki air untuk pembangunan sebuah projek mewah di sini yang didapati tidak mempunyai kelulusan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) itu sudah diarahkan berhenti oleh pihak berkuasa tempatan berkenaan pada awal Februari lalu tetapi disambung semula kira-kira sebulan lalu. Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Kiara Hill, Khairul Anwar Jahuri, 40, berkata pada mulanya, penduduk tidak membantah projek berkenaan kerana menyangka ia satu lagi projek kerajaan dan mendapat kebenaran melakukan pembangunan di atas tanah yang sebelumnya diluluskan untuk Taman Wilayah.

Bagaimanapun, katanya, kerja meletupkan tanah keras menggunakan bahan letupan pada Disember tahun lalu serta pencemaran udara akibat kerja meratakan tanah dan aktiviti lori keluar masuk di tapak pembinaan itu menyebabkan penduduk bimbang dengan keselamatan masing-masing sebelum menghantar memorandum bantahan kepada Yang Dipertua MPJBT, Fuzi Ahmad Shahimi pada 26 Januari lalu.

Katanya, berikutan itu, MPJBT menjalankan siasatan dan mendapati pemilik projek terbabit tidak memiliki kelulusan kebenaran merancang di atas tanah Taman Wilayah yang sepatutnya dikekalkan untuk penduduk menikmati persekitaran kehijauan alam semula jadi.

“MPJBT kemudian mengeluarkan Borang E kepada pemilik projek iaitu notis menghentikan kerja dan memulihkan semula tanah dan bangunan kepada keadaan asal kerana kegagalan pemilik projek terbabit mendapatkan kebenaran merancang pada 3 Februari lalu," katanya di sini, semalam.
Khairul Anwar berkata, dalam pertemuan dengan MPJBT dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sebelum ini, penduduk dijanjikan bahawa projek pembinaan tangki air itu tidak akan diteruskan sehinggalah mendapat kebenaran penduduk.

“Namun, nampaknya projek pembinaan itu beroperasi semula kira-kira sebulan lalu walaupun penduduk belum memberikan persetujuan untuk mereka meneruskan projek berkenaan," katanya yang sudah menghuni kawasan perumahan itu lebih dua tahun lalu.

Projek yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan kediaman Kiara Hill itu menyebabkan penduduk sering mengalami gegaran melampau, keretakan pada pelbagai bahagian rumah dan keadaan udara berdebu akibat kerja meratakan tanah dan aktiviti keluar masuk lori di kawasan pembinaan itu.

Bagaimanapun, tiada kerja membaik pulih rumah yang terjejas akibat kerja pembinaan tangki air itu dilakukan pemilik projek terbabit, setakat ini.

Seorang jawatankuasa penduduk perumahan itu, Nur Faizal Abdullah, 37, berkata kerja pembinaan tangki air bukan saja menyebabkan kebanyakan rumah di sini mengalami retak, ia juga menyebabkan harga rumah di sini jatuh berikutan kedudukannya bersebelahan kawasan perumahan berkenaan.

Beliau berkata, kawasan berbukit bersebelahan taman yang dulunya indah kini bertukar botak akibat pembinaan tangki air berkenaan selain kemusnahan yang berlaku pada tanah dan alam sekitar, topografi dan landskap.

“Kedudukan kawasan perumahan yang dulunya cukup bernilai kerana mempunyai kelebihan bersebelahan Taman Wilayah kini jatuh disebabkan adanya kawasan tangki air di atas bukit itu," katanya.

Selain itu, Zulhaidi Alias, 30, berkata pihaknya tertanya-tanya mengapa pemilik projek berkenaan memilih kawasan berkenaan untuk membina tangki air untuk kemudahan pembangunan itu sedangkan kedudukannya terletak jauh dari kawasan pembangunan itu.

Beliau berkata, setakat ini, tiada sebarang jaminan daripada pihak berkenaan pembinaan tangki air itu selamat kepada penduduk yang tinggal di bawahnya serta wujudnya pelan bantuan keselamatan jika penduduk berdepan dengan sebarang bencana.

“Oleh itu, kami membantah sekeras-kerasnya pembinaan tangki air berkenaan dan berharap MPJBT dapat menarik balik kelulusan yang diberikan demi keselamatan penduduk serta memulihkan semula kawasan berkenaan menjadi kawasan rekreasi dengan menanam pokok selaras tujuan asal kawasan itu sebagai Taman Wilayah," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor___8216_Rumahkamiretak__8217_/Article

0 comments: