BARU-BARU ini dua kawan saya bercerita mengenai saman ekor. Mereka terkejut apabila gagal memperbaharui cukai jalan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana dikatakan ada 10 saman ekor berjumlah hampir RM2,100 dan seorang lagi dikatakan ada lima saman ekor kira-kira RM850 yang perlu dibayar sekali gus jika mahu memperbaharui lesen.
**********************************
Pengguna pertikai kesahihan saman ekor
Berita Harian 5 Ogos 2010
BARU-BARU ini dua kawan saya bercerita mengenai saman ekor. Mereka tidak pernah menerima sebarang surat saman seperti prosedur sebelum ini.
Mereka terkejut apabila gagal memperbaharui cukai jalan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana dikatakan ada 10 saman ekor berjumlah hampir RM2,100 dan seorang lagi dikatakan ada lima saman ekor kira-kira RM850 yang perlu dibayar sekali gus jika mahu memperbaharui lesen.
Dalam keadaan sukar pada zaman harga barang serba naik ini, mereka terpaksa mengeringkan poket membayar saman kerana kenderaan perlu digunakan setiap hari ke tempat kerja. Saya berharap pihak berkenaan iaitu polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi penjelasan adakah saman ekor sah dari segi undang-undang kerana pengguna tidak dimaklum secara rasmi melakukan suatu kesalahan sebaliknya seperti dipaksa mengaku bersalah dan membayar denda?
Merujuk kes seorang peguam menyaman JPJ di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu beberapa tahun lalu yang dilaporkan secara meluas melalui akhbar; mahkamah memutuskan JPJ tiada bidang kuasa untuk menolak memperbaharui cukai jalan kerana kegagalan membayar saman kesalahan trafik yang dikenakan oleh polis dan JPJ sendiri.
Didapati selepas itu JPJ tidak lagi menahan pembaharuan cukai jalan pesalah trafik, namun melaksanakan semula tidak lama selepas itu.
Ramai yang tidak memahami perundangan isu yang dibangkitkan ini serta tidak mempunyai kewangan selesa untuk melantik peguam bagi mencabarnya di mahkamah, melainkan membayar saman yang tidak pernah dilihat kerana keperluan hidup yang perlu diteruskan.
INSAN SIMPATI,
Jalan Klang Lama,
Kuala Lumpur.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Penggunapertikaikesahihansamanekor/Article
Minda Pengarang: Polis perlu permudah semak, bayar saman ekor di setiap balai
Berita Harian 5 Ogos 2010
ISU saman ekor sekali lagi mendapat perhatian kerajaan kelmarin, apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencadangkan supaya ia dikaji semula berikutan banyak rungutan diterima daripada orang ramai mengenai kaedah pelaksanaannya. Adalah wajar jika kajian semula itu tidak bermaksud untuk memansuhkan saman ekor, sebaliknya meningkatkan penguatkuasaannya dengan lebih tegas kerana setiap kesalahan perlu dikenakan hukuman setimpal supaya ia memberi pengajaran.
Kita amat bersetuju jika kelemahan pelaksanaan dan penyampaian saman ekor diperbaiki agar ia adil dan tidak dipertikai mana-mana pihak. Oleh itu, apabila ada pemandu merungut mereka tidak bersalah atau teraniaya dengan saman itu, pihak polis perlu menelitinya.
Sesiapa pun tidak boleh menafikan, saman yang dikenakan adalah langkah berkesan untuk mendidik pemandu agar lebih berhemah dan memandu secara selamat. Memandu melebihi had laju, tidak berhemah atau melanggar peraturan lalu lintas menyumbang kepada meningkatnya kemalangan setiap hari.
Saman ekor adalah notis saman dikeluarkan bagi kesalahan lalu lintas yang dikesan melalui kamera kerana memandu melebihi had laju, tidak mematuhi peraturan meletak kenderaan atau saman polis tanpa menahan pesalahnya.
Antara rungutan berhubung saman ekor ialah dakwaan nombor plat kenderaan mereka dipalsukan pihak lain dan kesalahan dilakukan pemandu lain yang meminjam kenderaan berkenaan. Berdasarkan kelemahan ini, pelaksanaan dan penyampaian saman ekor perlu dikaji semula, dikemas kini dan dipermudahkan jika mahu ia diteruskan.
Pihak polis juga harus mengambil kira bagaimana pemandu boleh mengakses maklumat untuk mengetahui mereka mempunyai saman ekor atau tidak. Mereka yang tiada komputer dan capaian internet, sudah tentu terkejut diberitahu senarai panjang saman ekor yang perlu dijelaskan ketika mahu memperbaharui cukai jalan.
Dari aspek lain, kajian juga harus dilakukan bagi mempermudahkan semakan dan pembayaran saman ekor, termasuk di pondok atau balai polis setempat. Ketika ini, pembayaran saman hanya dibuat di kaunter Ibu Pejabat Polis Daerah dan negeri. Kerajaan juga harus menyelesaikan masalah notis saman tidak diterima pemilik berdaftar kerana tidak menetap di alamat berkenaan atau sudah berpindah. Isu saman ekor timbul semula berikutan tindakan JPJ menyekat pemilik kenderaan yang disenaraihitamkan memperbaharui cukai jalan.
Hakikatnya, menyekat pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan bukan langkah bijak kerana ia akan menimbulkan pelbagai implikasi perundangan. Sewajarnya JPJ atau polis memastikan tindakan ketika ini tidak menyalahi peruntukan undang-undang, sekali gus dapat mengelak kerajaan disaman. Ketika ini sudah timbul dakwaan bahawa JPJ dan polis tidak mempunyai kuasa berbuat demikian, sehingga ia diputuskan di mahkamah.
Walaupun hasrat kerajaan memperkenalkan saman ekor bertujuan mendidik pengguna berhemah di jalan raya dan mengurangkan kes kemalangan, mekanisme penentuan prosedurnya perlu dikemas kini bagi memastikan langkah yang dibuat benar-benar berkesan. Kita percaya pendekatan ‘mesra pengguna’ jika diamalkan pihak polis akan dapat mengurangkan jumlah saman ekor tertunggak, khususnya memperkenalkan kemudahan bayaran saman di setiap balai polis.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MindaPengarang_Polisperlupermudahsemak_bayarsamanekordisetiapbalai/Article
0 comments:
Post a Comment