Berita Harian 25 Ogos 2010. Ibarat ditendang seperti bola, 400 keluarga Rumah Pangsa Daisi Taman Plentong Utama , Johor Bharu meminta campur tangan pihak berkuasa bagi menyelesaikan masalah penyelenggaraan bangunan yang menghantui kehidupan mereka sejak tiga tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk dalam isu berkenaan, Andri Zulkarnaen Hamdan, 38, berkata penduduk mula mempersoalkan ke mana perginya wang penyelenggaraan bangunan kerana tidak nampak kerja penyelenggaraan dilaksanakan syarikat pengurusan yang dilantik.
Beliau berkata, penduduk dikehendaki membayar RM58 sebulan yuran penyelenggaraan bangunan dan sejak mendiami kediaman, syarikat berkenaan berdolak dalih mengatakan salinan perjanjian kepada penduduk belum siap.
Sejak projek perumahan ini siap pada 2007, kami kesal kerana salinan perjanjian penyelenggaraan bangunan tidak diberi dan penduduk ibarat ditendang seperti bola kerana setiap kali berjumpa dengan wakil syarikat atau badan pengurusan dilantik masing-masing berdolak-dalik.
Kami mahu keadilan kerana tidak nampak kerja menyelenggara dilakukan, malah deposit pengubahsuaian rumah yang dikenakan dari RM100 dinaikkan kepada RM200 sewenang-wenangnya tanpa hitam putih, katanya ketika ditemui di sini.
Suri rumah yang mendiami Blok B, Nashzeliya Ngadimin, 27, mendakwa suaminya terpaksa membetulkan sendiri paip kumbahan yang tersumbat selepas aduan tidak diendahkan.
Saluran kumbahan tersumbat tetapi pihak terbabit tidak mengambil tindakan dan kerana tidak tahan berdepan masalah itu, suami saya membaiki paip kumbahan menggunakan wang sendiri walaupun yuran sudah dibayar setiap bulan, katanya.
Beliau turut mendakwa kerja menyelenggara seperti pemotongan rumput dan semburan asap nyamuk sudah tertangguh selama tiga bulan.
Johnny Parett, 50, berkata sejak mendiami aras lima Blok G, keluarganya dihantui masalah kebocoran bumbung, dan turut mendakwa lebih 75 peratus penghuni aras sama setiap blok mengalami masalah serupa.
Kami terpaksa mengosongkan bilik kerana tidak tahan menerima tempias hujan ketika tidur dan perkara ini sudah diajukan tetapi tidak mendapat layanan sewajarnya, katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Seksapenghunifletdaif/Article
0 comments:
Post a Comment