8/6/10

Senator Siti Zailah kena banyak pergi kafe siber

Nampaknya Senator Siti Zailah kena banyak turun padang, pergi kafe siber, pergi pantai-pantai peranginan, pergi air terjun yang tak ada kencing tikus, pergi tengok apa ada dalam telefon bimbit pelajar sekolah rendah, termasuk pelajar sekolah agama. Memang benar tempat hiburan mesti disekat, hiburan dan cerita sex di TV dihalang.

Tapi remaja sekarang bijak dah, mereka boleh dapat dari pelbagai sumber lain. Tambahan sekolah nak ajar Pendidikan Seks dah, cuma tukar nama Pendidikan Reproduktif dan Sosial, macam kerajaan selaras subsidi tak dikata naik harga.

Sebelum ramai lagi pimpinan PAS beri macam-macam pandangan peribadi, eloklah Majlis Syura Ulama dan AJK PAS Pusat nyatakan pendirian mereka terhadap masalah sosial yang berlaku sekarang. Tak perlu ulas Hukum Hudud, kerana Hukum Hudud jelas perlu dan wajib dilaksanakan.

Tak perlu ulas tutup pusat hiburan maksiat dan lain-lain. Kerana memang patut dah lama tutup.

Ulas apa nak buat sekarang dengan remaja yang semakin bijaksana dan bijaksini daripada kita yang dah tua ini mencari pelbagai bahan melalui internet, MMS dan sebagainya.

Apa nak buat remaja yang dah tak tahan sangat nak kahwin ni. Kita tidak galakkan remaja kahwin awal, tapi kalau dah nak berzina nak buat apa, nak ajar pasal dosa dan pahala, sedangkan sembahyang pun mereka abaikan.

Bukan nak galakkan pelajar mengandung, tapi kalau dah mengandung luar nikah nak buat apa ? Buang di Pulau Jerjak ?

*******************

Sekat pergaulan bebas, bukan kahwin awal

KUALA LUMPUR, 5 Ogos: Cadangan Kerajaan Negeri Melaka memberikan kelonggaran kepada remaja yang masih bersekolah untuk berkahwin bukan suatu penyelesaian jangka panjang, kata Timbalan Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf (gambar).

Beliau berkata, kebenaran perkahwinan di awal usia bukan isu pokok sebaliknya yang harus diberikan perhatian adalah seluruh sistem kehidupan yang diamalkan di negara ini.

"Kerajaan tidak melihat penyelesaian yang lebih jauh. Penyelesaiannya bukan terletak kepada pelajar diberi kahwin awal tapi penyelesaiannya sistem itu sendiri iaitu sistem pembelajaran, pendidikan, dan sosial.

"Sistem yang ada di negara kita ini jauh menyimpang dari al-Quran. Contohnya sekarang ini di sekolah-sekolah atau di mana sahaja banyak program yang menyebabkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan.

"Ini menyebabkan berlakunya masalah hamil dan anak luar nikah di negara kita begitu ketara sekali," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu juga berkata, kerajaan seharusnya mengambil langkah pencegahan dengan menyekat segala aktiviti dan tempat-tempat yang boleh membuka ruang kepada remaja bergaul bebas seterusnya terjerumus ke kancah penzinaan.

"Selain daripada kita mengkaji balik cadangan perkahwinan awal itu, kita kena melihat dari segi peraturan, penguatkuasaan undang-undang yang ada dari segi kawalan sistem itu sendiri supaya perkara ini menjurus ke arah mengawal maksiat ini daripada berlaku.

"Sekarang kerajaan baik, rakyat baik, harus menjauhi daripada segala bentuk yang dapat mendekatkan diri dengan zina," ujarnya.

Katanya juga, keputusan membenarkan pelajar yang masih bersekolah itu berkahwin dibimbangi menyebabkan masalah keciciran dalam akademik akibat tidak dapat mengendalikan rumah tangga dengan baik.

"Perlu juga melihat sejauh mana pelajar yang berkahwin itu bertanggungjawab terhadap perkahwinannya. Kita bimbang tidak sampai kepada hala tuju dan penyelelesaiannya. Saya takut mereka yang berkahwin akan keciciran dalam pelajaran kerana tidak ada penyelesaian terhadap sara hidup. Jadi tidak selesaikan masalah," katanya lagi.

Ujarnya, kerajaan Umno Barisan Nasional harus melihat keseluruhan sistem Islam, bukan mengambil sebahagian sahaja yang memberi kebaikan kepada mereka.

"Saya minta kerajaan melihat Islam secara keseluruhan, bukan sudut-sudut tertentu yang mendatangkan kebaikan kepada mereka," ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Kerajaan Negeri Melaka membuat kajian secara mendalam sebelum memberi kelulusan bagi membenarkan pelajar sekolah berkahwin awal bagi mengelakkan kesan negatif di kemudian hari.

Majlis Agama Negeri Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah memberi kelonggaran bernikah kepada pelajar lelaki di bawah umur 18 tahun dan bawah 16 tahun bagi pelajar perempuan.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27979:sekat-pergaulan-bebas-bukan-kahwin-awal&catid=1:utama&Itemid=50

0 comments: