Harian Metro 18 Sep 2010. KUANTAN: Lima beradik yang menetap di Lorong 12, Jalan Tanjung Api, Kampung Selamat, di sini, bukan saja hidup serba kekurangan, malah empat daripada mereka tercicir daripada persekolahan akibat kesempitan hidup.
Lebih menyedihkan apabila ibu mereka, Wan Zamuzi Wan Yusoff, 45, terlantar sakit sejak beberapa bulan lalu manakala bapa, Mohd Asri Che Yahya, 45, yang bekerja sebagai nelayan pula jarang berada di rumah kerana keluar ke laut.
Anak keempat daripada lima beradik itu, Nurul Haifa, 13, berkata, dua abangnya, Mohd Asrul, 18, dan Mohd Asraf, 17, kini bekerja sebagai nelayan dengan menumpang bot penduduk manakala kakaknya pula, Nurul Hanani, 15, bekerja di kedai makan berhampiran rumahnya.
“Saya juga bekerja sambilan di kedai makan berkenaan selama sejam dari pukul 5 hingga 6 petang setiap hari dengan gaji RM10 sehari dan masa selebihnya saya akan berada di rumah menjaga ibu serta menguruskan kerja rumah.
“Kami semua tidak tamat sekolah kerana kesusahan hidup, jadi kami bekerja untuk mencari wang dan membantu keluarga kecuali adik bongsu, Nurul Atahirah, 9, yang baru saja memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tok Sira, di sini, baru-baru ini,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Katanya, mereka sekeluarga sebelum ini menyewa di sekitar kampung itu sebelum berpindah ke sebuah rumah usang yang bekalan elektriknya sudah dipotong sejak awal Ogos lalu.
“Kami sekeluarga tidak pernah mendapat sebarang bantuan selain daripada pihak Drugs Intervention Community (DiC) Pahang yang memberi bantuan makanan dua kali seminggu serta pengangkutan untuk adik bongsu ke sekolah.
“Kami sukar untuk memohon bantuan kerana ibu berketurunan Siam manakala saya dan kakak pula tidak mempunyai kad pengenalan kerana ibu dan bapa tidak pernah membawa kami membuatnya disebabkan surat nikah mereka sudah hilang selain mereka diberitahu tidak boleh membuat kad pengenalan kami tanpa surat nikah,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/4beradikdaiftercicirsekolah/Article
0 comments:
Post a Comment