Berita Harian 27 Sep 2010 - Jalan lama jadi tempat maksiat
BUKIT PUTUS: Jalan lama Bukit Putus yang sebelum ini sibuk sebagai laluan utama menghubungkan Seremban dan Kuala Pilah bukan saja semakin sepi, malah lebih membimbangkan menjadi tempat melakukan maksiat dan kegiatan lumba haram. Pembukaan jalan baru sejak Oktober lalu menyebabkan jalan lama semakin tidak digunakan dan kelihatan tidak terurus. Lebih buruk, pihak tidak bertanggungjawab mengambil peluang keadaan jalan yang sunyi untuk melakukan perbuatan tidak baik.
Tinjauan Berita Harian mendapati jalan lama masih digunakansesetengah pengguna yang ingin ke Seremban atau Kuala Pilah ketika jalan baru sesak, terutama pada hujung minggu dan musim perayaan. Bagaimanapun, keadaan jalan itu lengang pada hari biasa.
Pemandu lori, Saidi Salleh, 45, lebih suka menggunakan jalan lama Bukit Putus kerana laluan itu sejuk kerana kawasan sekeliling dipenuhi pokok.
Katanya, ramai pemandu lori suka berhenti di kawasan astaka untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan semula.
"Cuma jalan ini agak semak, dipenuhi anak pokok dan ranting yang jatuh di atas jalan. Saya hanya melalui jalan ini pada waktu siang dan menggunakan jalan baru pada waktu malam. Jalan lama yang gelap menyebabkan saya khuatir terlanggar penunggang motosikal pada waktu malam.
"Saya bersetuju dengan perancangan menaik taraf jalan lama sebagai laluan pelancongan kerana kawasan sekitar cantik dan sesuai untuk aktiviti riadah, sekali gus mengelakkan jalan lama rosak dan dipenuhi semak," katanya.
Peniaga makanan, Mohamad Abdullah, berkata perniagaannya merosot sejak jalan baru dibuka kerana tidak banyak pengguna memilih jalan ini.
"Saya sebagai peniaga berharap projek laluan pelancongan disegerakan supaya kehadiran pelancong akan meningkatkan semula perniagaan di sini," katanya.
Selain alam semula jadi, katanya perancangan rapi perlu dibuat untuk mewujudkan daya tarikan baru yang dapat menarik minat pelancong.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_Jalanlamajaditempatmaksiat/Article
0 comments:
Post a Comment