Berita Harian 2 Sep 2010
Syor naik taraf parit di Kampung Minyak Beku
BATU PAHAT: Sistem perparitan tidak sempurna, ketinggalan zaman dan tidak lagi mampu menampung limpahan air hujan terutama ketika hujan lebat menyebabkan enam rumah di Kampung Minyak Beku di sini, mengalami masalah banjir kilat sehingga tiga kali sejak tahun lalu. Banjir berkenaan bukan saja menyebabkan air hujan bercampur lumpur hingga mencecah ke paras betis masuk ke dalam rumah, malah ada penduduk kerugian sehingga RM5,000 berikutan pelbagai barangan elektrik dan perabot rosak.
Tinjauan Edisi Johor ke rumah penduduk terbabit selepas sebulan kejadian berkenaan berlaku mendapati masalah banjir kilat berkenaan disebabkan sistem perparitan sudah ketinggalan zaman yang sudah wujud di kampung berkenaan sejak 30 tahun lalu dan tidak pernah diganti.
Ia berikutan parit di kampung berkenaan hanya saluran air yang dikorek di atas permukaan tanah tanpa simen atau konkrit di saluran berkenaan seperti sistem perparitan atau longkang moden yang biasa dilihat.
Malah, beberapa penduduk mengakui sistem perparitan termasuk saluran air bawah tanah di situ tidak lagi sesuai menampung limpahan air hujan yang banyak, terutama ketika hujan lebat dan musim tengkujuh menyebabkan banjir kilat berlaku.
Pesara, Mohamed Osman, 57, berkata, kejadian terbaru pada Julai lalu benar-benar menyentap emosinya apabila hujan lebat hampir tiga jam menyebabkan rumahnya dinaiki air hingga paras betis sebanyak dua kali dalam tempoh tiga hari.
“Kejadian pertama berlaku pada Jumaat dan kemudian Ahad. Kedua-dua kejadian berlaku ketika saya bersama enam lagi ahli keluarga sedang nyenyak tidur dan tidak sempat berbuat apa-apa bagi menyelamatkan harta benda.
“Kami sekeluarga tidak menyangka belum habis penat membersihkan rumah akibat kejadian pertama, banjir lumpur sekali lagi berlaku hingga menyebabkan kami trauma dan tertekan.
“Dalam kejadian berkenaan kami sekeluarga kerugian kira-kira RM3,000 kerana kerosakan pelbagai barangan. Kami sudah tinggal di sini sejak lebih 10 tahun lalu dan ada masanya memang hujan lebat di sini tetapi masalah banjir ini hanya berlaku bermula tahun lalu," katanya yang ditemui di rumahnya.
Jirannya, Asiah Abdul Kadir, 68, pula berkata, sejak 30 tahun menetap di kampung berkenaan, banjir kilat Julai lalu pengalaman pertamanya berhadapan banjir yang memasuki rumahnya.
“Walaupun kerugian yang ditanggung tidak banyak, saya tetap bimbang jika banjir akan berulang semula, apatah lagi banjir berkenaan turut menyebabkan halaman saya dipenuhi pasir dan tanah yang dibawa air hujan dari kawasan bukit yang dijadikan kuari tidak jauh dari sini," katanya.
Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengorek semula parit berkenaan bagi mendalamkannya tetapi kini ia tertimbus semula disebabkan hujan lebat.
Berikutan itu, beliau berharap dan merayu pihak berkuasa dapat menyediakan sistem perparitan sempurna seperti dilakukan di kawasan lain bagi mengelak masalah banjir kilat berkenaan berulang kerana tanpa sistem longkang yang sempurna masalah berkenaan dikhuatiri tidak akan selesai.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Traumabanjirlumpur/Article
0 comments:
Post a Comment