Kerajaan Perak tak kota janji nak beli buku
Berita Harian 23 Sep 2010. SEWAKTU merasmikan Seminar Pemikiran Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali PK serta Malam Gema Puisi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), wakil Menteri Besar Perak yang juga Exco kerajaan Perak ada mengumumkan beberapa berita menarik.
Antaranya, persetujuan kerajaan Perak membeli semua buku yang dilancarkan sebanyak 1000 naskhah setiap judul, penubuhan Kerusi Tengku Menteri, Institut Perakologi, Hadiah Sastera Perak Darul Ridzuan dua tahun sekali dan sebagainya. Kesemua pengumuman itu dilaporkan oleh akhbar arus perdana termasuk Berita Harian beberapa hari kemudian.
Akhbar Berita Harian menyiarkannya di ruangan sastera bertarikh 28 April 2010. Bagaimanapun, apa yang mengecewakan sehingga kini tiada maklum balas dari kerajaan Perak terhadap semua dijanjikan itu khususnya pembelian buku dilancar pada malam 6 Mac 2010. Kesemua janji hanya tinggal janji.
Sejajar dengan konsep Gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan dan slogan Perak Amanjaya, kerajaan Perak wajar menunaikan janji itu dengan telus dan saksama.
TEROPONG SILUMAN,
Perak
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KerajaanPeraktakkotajanjinakbelibuku/Article
Denyut puisi Upsi
Berita Harian 28 April 2010
Seramai 150 khalayak terbeliak mata melihat aksi penyair
MALAM Gema Puisi Upsi di Dewan Sri Tanjung, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim, baru-baru ini, menjadi medan penyair untuk membeliakkan mata lebih 150 mahasiswa dan mahasiswi Upsi.
Majlis anjuran bersama Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) , Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI serta Persatuan Penulis Budiman (Budiman) bergema dengan raungan dan lontaran suara penyair di samping disulami alunan lagu puisi.
Malam yang menampilkan wartawan TV3, Ahmad Fetri Yahya dan Zakiah Anas, sebagai pengacara berjaya menghidupkan suasana bait kata-kata indah, sinis tetapi mencuit hati khalayak nyata menceriakan majlis.
Dekan Fakulti Bahasa Upsi, Dr Abdul Ghani Abu, bangga dengan salasilah Upsi yang menjadi tapak sejarah pendidikan pada zman Sultan Idris Training College (SITC) dan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) sehingga lahir pengarang ternama seperti Masuri SN, Suratman Markasan, Suhaimi Muhammad, Prof Dr A Wahab Ali, Prof Rahman Shaari dan Datuk Dr Kemala.
“Kegiatan kesusasteraan perlu disemarakkan dan berkesinambungan agar Upsi dapat meneruskan perjuangan memartabatkan kesusasteraan tanah air dan Malam Gema Puisi Upsi adalah usaha mendekatkan warga kampus dengan penyair ternama,” katanya.
Exco Kebudayaan, Kesenian, Belia Dan Sukan Negeri Perak, Zainol Fadzi Paharuddin diberi penghormatan membaca puisi Terima Kasih Tuhanku karya Malim Ghozali PK, turut mengumumkan kerajaan negeri akan membeli 1,000 naskhah setiap judul buku yang dilancarkan pada malam itu.
Buku yang diarak masuk ke dewan untuk dilancarkan Zainal ialah Apabila Malam Semakin Malam karya Suhaimi Muhammad, kumpulan puisi Merindu Alam (Ihsan Noorzali), Naratologi Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad (Talib Samat), Kenali Tokoh Berjasa Jilid 1 (Talib Samat), Perjuangan Mengantarabangsakan Tengku Menteri Ngah Ibrahim (selenggaraan Talib Samatk) dan Pemikiran Politik Dalam Novel Ahmad Boestamam (Zabidin Ismail).
Sekalung terima kasih perlu diucapkan kepada Kerajaan Negeri Perak yang berusaha mengangkat martabat sastera dan membantu kebajikan pengarang dengan cara membeli buku untuk diedarkan ke perpustakaan di seluruh negeri Perak.
Pengarah program, Dr Talib berkata pembelian itu mencerminkan pengiktirafan Kerajaan Negeri Perak terhadap kesungguhan pengarang menghasilkan karya untuk tatapan peminat sastera dan memupuk budaya membaca di kalangan anak Perak.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DenyutpuisiUpsi/Article/print_html
0 comments:
Post a Comment