9/30/10

Penduduk Melaka resah bau busuk tapal pelupusan sampah


Masalah bau busuk yang dihadapi penduduk menyebabkan mereka terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah sepanjang hari bagi mengelakkan bau, habuk serta asap hitam memasuki rumah. Tidak cukup dengan itu, masalah pencemaran udara yang teruk sehingga ada penduduk, terutama kanak-kanak menghidap penyakit kulit gatal dan kesukaran bernafas.

****************
Utusan Malaysia 30 Sep 2010
Penduduk Kg. Ladang resah bau busuk

MELAKA 29 Sept. - Lebih 30 keluarga di Kampung Ladang, Krubong dekat sini menghadapi masalah bau busuk setiap hari dikatakan berpunca daripada pusat pelupusan sampah yang terletak berhampiran rumah mereka.

Keadaan itu menyebabkan penduduk menghadapi masalah bau busuk kerana jarak tempat pelupusan itu hanya kira-kira 200 meter daripada rumah mereka.

Masalah bau busuk yang dihadapi penduduk menyebabkan mereka terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah sepanjang hari bagi mengelakkan bau, habuk serta asap hitam memasuki rumah.

Tidak cukup dengan itu, masalah pencemaran udara yang teruk sehingga ada penduduk, terutama kanak-kanak menghidap penyakit kulit gatal dan kesukaran bernafas.

Seorang penduduk, Johari Shukor, 51, berkata, dia terpaksa menutup pintu sepanjang hari berikutan tidak tahan bau busuk dari tapak pelupusan sampah berkenaan.

Menurutnya, mereka terpaksa menghadapi bau busuk terutamanya pada waktu petang dan keadaan bertambah teruk apabila angin bertiup kencang.

''Keadaan ini sudah pun berlarutan sejak Krubong dijadikan tempat pelupusan sampah. Perkara yang paling memalukan apabila saya menerima kunjungan daripada saudara-mara.

''Bagi mereka yang tidak tahu pasti tertanya-tanya dan perkara ini adalah sangat memalukan sehinggakan untuk membuat majlis keramaian pun terpaksa berfikir sebaik-baiknya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Johari lagi, penduduk kampung sudah menghadapi masalah ini sejak pusat pelupusan beroperasi pada 1996.

Seorang lagi penduduk, Halim Samad, 63, berkata, masalah bau busuk ini bertambah teruk apabila tiba musim hujan.

Menurutnya, penduduk kampung sudahpun membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) tetapi masih belum mendapat apa-apa tindak balas.

''Saban hari kami terpaksa bertahan dan baunya semakin kuat hingga menganggu kerja dan kehidupan harian kami.

''Setiap masa penduduk Kampung Ladang terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah. Anak-anak kecil juga tidak dapat bermain di luar rumah kerana bimbang akan kesihatan masing-masing," katanya.

Bagi Rahimah Mansoor, 45, keadaan bau busuk di kawasan bandar Melaka tidak seharusnya berlaku memandangkan status Melaka sebagai negeri pelancongan utama negara.

''Pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengelak dari berlakunya perkara sebegini," katanya.

Menurutnya, dia dan keluarga tidak berpeluang untuk berada di hadapan atau bergaul dengan jiran tetangga kerana dibelenggu masalah bau busuk.

''Akibat tidak tahan dengan bau busuk, saya telah memasang penghawa dingin dan menyebabkan bil elektrik menjangkau RM400 sebulan bagi mengelakkan bau busuk masuk ke rumah," katanya lagi.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_03.htm

0 comments: