Oleh Johary Indan
bhnews@bharian.com.my
2010/09/16
TAMPARULI: Oleh kerana pembinaan jambatan baru terbengkalai sejak hampir setahun lalu, lebih 3,000 pengguna di daerah ini terpaksa menggadai nyawa setiap kali melalui jambatan bailey usang merentangi Sungai Topokon untuk ke pekan ini.
Jambatan bailey berusia lebih 25 tahun itu yang menjadi kemudahan tunggal penduduk, jelas semakin uzur dan mendedahkan pengguna kepada risiko bahaya ketika melaluinya. Tinjauan Berita Harian mendapati, pengguna terpaksa mengetepikan ancaman itu kerana jambatan berkenaan adalah penghubung tunggal mereka dengan pekan ini. Apa yang menjadi persoalan ialah pembinaan kemudahan baru itu menggantikan jambatan uzur hanya setakat tiang utama sebelum ditinggalkan kontraktor hingga sekarang.
Seorang pengguna, Jonathan James, 35, mengakui bimbang setiap kali melalui jambatan tetapi tidak mempunyai pilihan.
"Melihat keadaan jambatan bailey itu dengan lantai tercabut, reput dan jatuh ke dalam sungai membuatkan saya bimbang ia boleh runtuh pada bila-bila masa.
"Bagaimanapun, apa kami boleh buat kerana jambatan itu adalah satu-satunya laluan untuk ke pekan ini dan sebaliknya," katanya di sini, baru-baru ini.
Jambatan bailey Sungai Topokon berada di laluan lama Tamparuli-Kota Belud yang masih menjadi kemudahan penting penduduk kampung yang mendiami sepanjang laluan berkenaan.
Jonathan berkata, mengikut papan notis diletakkan kontraktor tidak jauh dari tapak pembinaan, jambatan baru itu sepatutnya siap pada Disember 2009 tetapi hanya tiang konkrit utama jambatan yang sudah disiapkan manakala struktur utama seperti lantai serta dinding gagal dibina.
"Besi yang sepatutnya dipasang sebagai struktur utama kemudahan itu terbiar kira-kira 20 meter dari tebing sungai tanpa ada seorang pun pekerja meneruskan pembinaan jambatan itu.
"Jentolak dipercayai milik kontraktor terbabit yang diletak berhampiran jambatan usang itu juga sudah lama tidak digerakkan," katanya.
Muris Lampun, 58, berkata pembinaan jambatan baru itu tidak seharusnya ditangguhkan berikutan kepentingannya kepada orang ramai.
"Kami harap agensi kerajaan yang sepatutnya tidak menuding jari kepada pihak lain kerana kegagalan menyiapkan pembinaan kemudahan itu, sebaliknya mencari jalan bagaimana keadaan ini boleh diatasi," katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sabah_Sarawak_Gadainyawadijambatanusang/Article
0 comments:
Post a Comment