10/26/10

370 Guru Pengajar Asing, Muhyiddin dikecam hebat

Ambil rakyat tempatan pantau tenaga pengajar asing, kata Page
Bernama
KUALA LUMPUR, 26 Okt 2010 – Cadangan Kementerian Pelajaran untuk mengambil seramai 370 pakar bahasa Inggeris dari luar negara mulai tahun depan bagi memantau pengajaran bahasa itu di sekolah-sekolah menerima reaksi bercampur-campur daripada pelbagai pihak.

Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page) menyarankan rakyat tempatan seperti pesara, yang fasih berbahasa Inggeris, diambil sebagai “kumpulan pemantau” terhadap pelaksanaan pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

“Kita bimbang mereka (tenaga pengajar asing) bukan datang untuk mengajar sebaliknya datang untuk bercuti dan sebagainya,” kata Presiden Page Noor Azimah Abdul Rahim, yang menyokong inisiatif itu.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas cadangan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Kementerian Pelajaran akan mengambil seramai 370 pakar bahasa Inggeris dari luar negara mulai tahun depan bagi memantau pengajaran bahasa itu di sekolah.

Bagaimanapun, tokoh sejarah Tan Sri Prof Dr Emeritius Khoo Kay Khim berpendapat langkah pengambilan tenaga pengajar asing kurang sesuai kerana dialek Bahasa Inggeris yang dituturkan mereka agak berbeza selain terpaksa berhadapan dengan pelajar sekolah yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

“Kita buat andaian bahawa mereka (tenaga asing) bertutur dalam telor (dialek) yang sama tetapi kalau kita pergi ke wilayah di negara mereka, dialek yang dituturkan amat berbeza.

“Selain itu, mereka berhadapan dengan pelajar pelbagai bangsa seperti Melayu dan Cina. Mereka mungkin tidak faham budaya tempatan seterusnya akan menyukarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas.”

Khoo sebaliknya mencadangkan supaya kerajaan mengambil orang tempatan seperti warga emas dan pesara kerajaaan yang mempunyai penguasaan bahasa Inggeris dengan baik kerana mereka lebih jelas dengan budaya di negara ini berbanding warga asing.

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=538449

Harian Metro 25 Okt 2010
370 pakar bahasa Inggeris dari luar negara akan diambil mulai tahun depan

MELAKA: Kementerian Pelajaran akan mengambil seramai 370 pakar bahasa Inggeris dari luar negara mulai tahun depan bagi memantau pengajaran bahasa itu di sekolah. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengambilan pakar itu selaras dengan pelaksanaan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) untuk pelajar tahun satu sekolah rendah yang akan bermula tahun depan.

0 comments: