
32 rumah dilanda ribut
Utusan Malaysia 22 Okt 2010
JELEBU 21 Okt. - Penduduk di Kampung Durian Tipus dekat Simpang Pertang di sini berhadapan detik mencemaskan apabila sebahagian besar atap, bumbung dan zink rumah diterbangkan ribut dalam kejadian pada pukul 5 petang semalam.
Dalam kejadian itu, 32 rumah, sebuah sekolah dan balai raya mengalami kerosakan teruk apabila ribut kencang yang tiba-tiba berlaku di kawasan berkenaan mengejutkan penduduk dan pelajar yang mendiami asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Teriang Hilir (SMKTH), di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Siow Chen Pin berkata, kejadian itu merupakan terburuk yang pernah berlaku di kawasan berkenaan.
''Saya difahamkan dalam kejadian itu, sebuah kolam ternakan ikan turut mengalami kerosakan. Kita telah menerima laporan, 32 rumah kediaman rosak dan ada yang teruk sehingga tidak boleh didiami kerana atap habis diterbangkan," katanya di sini malam tadi.
Chen Pin ditemui pemberita semasa melawat mangsa kejadian ribut di Simpang Pertang dan turut ditemani Pegawai Daerah Jelebu, Zulkifli Baharan.
''Setakat ini kita telah pun menyalurkan bantuan segera kepada penduduk di kawasan berkenaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi-agensi yang lain," katanya.
Buat masa ini, katanya semua kerosakan sedang dinilai dan kerajaan akan segera membaiki kerosakan rumah penduduk supaya mereka dapat kembali mendiami rumah masing-masing.
''Kerajaan akan membantu sedaya upaya kepada semua mangsa dan berharap mereka bersabar dengan kejadian yang menimpa itu," katanya.
Chen Pin yang berada di lokasi kejadian melahirkan rasa terkejut dengan apa yang berlaku dan tidak menjangka ia sebegini teruk.
''Kita bersyukur kerana tiada mangsa yang cedera dalam kejadian ini, walaupun ada di antara mereka masih terkejut dengan apa yang berlaku. Kita akan berikan bantuan nasihat dan kaunseling kepada mereka," katanya.
Tambahnya, bantuan bencana seperti selimut, bantal dan keperluan asas telah diuruskan oleh agensi berkaitan dan kerja-kerja membaiki kerosakan juga sedang dilakukan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Mohammad, berkata, pihaknya kini menganggarkan kerugian yang dialami SMKTH termasuk bumbung, siling yang rosak akibat kejadian ribut semalam.
''Jumlah kerugian itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran untuk diberikan perhatian segera dan melakukan baik pulih untuk keselesaan pelajar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Abdullah juga dimaklumkan bahawa beberapa asrama yang menempatkan pelajar turut mengalami kerosakan selain beberapa dewan peperiksaan untuk pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
''Pada masa sama, kita telah meminta pihak sekolah menyediakan pelan tindakan alternatif bagi membolehkan peperiksaan percubaan SPM dilaksanakan," katanya.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Nor Azizah Rony, 33, yang ditemui memberitahu, kejadian itu berlaku dengan pantas mengakibatkan bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang.
Nor Azizah bersyukur kerana dalam kejadian itu kesemua ahli keluarganya terselamat walaupun sebahagian besar barangan dalam rumahnya mengalami kerosakan.
''Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana segera memberikan bantuan kepada kami dan penduduk di sini," katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm
0 comments:
Post a Comment