10/29/10

Bekas komando tuntut hak


Sinar Harian 29 Okt 2010

TANGGA BATU - Bekas Komando Angkatan Tentera yang pernah berjuang ketika zaman menentang pengganas komunis era 70-an menuntut kerajaan memberikan hak sama rata bagi Elaun Hilang Upaya anggota yang mengalami kecacatan kekal sewaktu mereka berkhidmat dahulu.

Koperal (B) Yaacob Hassan, 58, mendakwa, ketika ini kerajaan hanya menyediakan Skim Bayaran Pampasan Bencana Kerja (Ex-Gratia) bagi anggota tentera yang mengalami kecederaan bermula pada 2001 hingga sekarang.

Sedangkan menurutnya, anggota tentera sezaman dengannya hanya diberikan sedikit pampasan dianggap tidak setimpal berbanding zaman kini yang diberikan pelbagai kemudahan oleh pihak kerajaan.

Yaacob yang kehilangan pergelangan tangan kanan dan mengalami kecacatan tangan kiri akibat jerangkap samar ketika menyertai operasi mempertahankan negara daripada ancaman komunis pada 1976 di Gubir, Kedah mendakwa, hanya diberikan pampasan RM2,000 atas kecederaannya itu.

Menurutnya, ketika itu dia berumur 25 tahun dan terpaksa menerima hakikat menjalani kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU) seumur hidup.

“Umum sedia maklum, pada 2001 ke atas tiada lagi ancaman komunis. Bagi anggota yang menerima skim pencen bawah RM720 naik ke RM720.

“Tetapi, bagi yang sudah mencecah RM720 tidak merasa naik lagi. Begitu juga kadar elaun kecacatan kekal yang dibayar tidak sama rata antara kami. Tangan saya kudung dapat RM500 tetapi ada dalam kalangan rakan seperjuangan yang kudung kaki dapat RM150 sahaja,” katanya ketika meluahkan rasa tidak puas hatinya itu di rumahnya di Kampung Tanah Merah Jaya, semalam.

Yaacob berkata, golongan sepertinya berjuang melawan komunis tetapi jasa dan pengorbanannya bagaikan tidak dihargai.

“Apa salahnya jika kerajaan samakan bayaran kami semua dan serapkan dalam pencen. Saya dah jumpa pelbagai pihak untuk menyuarakan masalah ini tetapi malangnya masih tidak berhasil walaupun saya sudah perjuangkan perkara ini sejak 1978 lagi.

“Bukan saya sahaja yang tertunggu-tunggu perkara ini, bahkan hampir 200 bekas tentera seperti saya yang menjadi OKU kerana berperang dengan komunis menunggu tindakan kerajaan," katanya.

Menurutnya, golongan tentera kini dilayan istimewa oleh kerajaan apabila disediakan dengan pelbagai kemudahan dan insurans berkelompok serta pelbagai skim berbanding zaman dahulu.

“Bagi yang cedera atau terkorban ketika berkhidmat di luar negara, mereka dibayar dengan puluhan ribu ringgit.

“Kami pula diberikan sedikit sumbangan, kadang-kadang RM200 dan kadang-kadang RM500 ketika menghimpunkan kami sewaktu menyambut Hari Pahlawan, Hari Kemerdekaan ataupun hari raya,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8343377.asp

0 comments: