10/4/10

Elaun Guru Agama SAR RM100 sebulan, teruknya

Kerajaan diminta selaras elaun guru SAR
Utusan Malaysia 4 Oktober 2010
SIPITANG 3 Okt. - Kerajaan negeri Sabah diminta menyelaraskan elaun guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) dalam usaha memperkasakan lagi sistem pendidikan SAR di negeri ini.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana ia sudah berlarutan sejak sekian lama.

"Apa yang terbaik ialah kerajaan mengambil langkah dengan menetapkan elaun bulanan yang selaras kepada guru terbabit dan bukannya berdasarkan jumlah pelajar yang berdaftar di SAR.

"Kita yakin kerajaan mempunyai kemampuan dan masalah seumpama ini perlu diberikan perhatian segera," katanya pada sidang akhbar selepas berdialog dengan guru-guru SAR di Pejabat Perhubungan Parlimen Sipitang di sini hari ini.

Menurutnya, masalah tersebut perlu diselesaikan segera kerana menimbulkan masalah kepada guru terbabit seterusnya menghalang usaha memperkasakan SAR.

Jelasnya, penyelarasan tersebut akan memberi motivasi dan semangat kepada guru-guru berkenaan seterusnya meningkatkan lagi usaha dan komitmen mereka dalam mendidik pelajar.

"Ketika ini elaun guru tersebut dibayar berdasarkan jumlah pelajar yang mendaftar di SAR.

"Bayaran itu pula dibuat setahun sekali secara purata menyebabkan ada guru hanya menerima RM100 sebulan," ujarnya.

Katanya, kerajaan juga perlu berusaha mengatasi masalah ketiadaan kemudahan pinjaman buku teks dan buku teks percuma di SAR yang membebankan pelajar.

Malah katanya, harga buku teks yang mahal juga menyebabkan terdapat ibu bapa gagal menyediakan kemudahan pembelajaran yang sempurna kepada anak-anak mereka.

"Pelajar di SAR tidak menikmati kemudahan pinjaman buku dan buku teks tersebut perlu dibeli oleh penjaga dan ibu bapa," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_04.htm

0 comments: