Banyak kelemahan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk negeri Melaka tahun 2009. Ianya merangkumi Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Jabatan Kerja Raya Negeri , Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka, Pejabat Daerah Dan Tanah Alor Gajah, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Majlis Perbandaran Jasin, Majlis Agama Islam Melaka, Melaka International Trade Centre Sdn. Bhd. dan Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn. Bhd.
Pakatan Rakyat di Melaka terutamanya PAS dan PKR perlu hadam isi kandungan Laporan Ketua Audit Negara ini dan desak kerajaan negeri beri penjelasan serta tindakan susulan untuk mengatasinya. Kalau perlu buat laporan SPRM dan laporan polis, silakan.
LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA
NEGERI MELAKA TAHUN 2009
BAHAGIAN I - AKTIVITI JABATAN/AGENSI
1. Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Jabatan Kerja Raya Negeri – Pengurusan Kenderaan Jabatan
Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) telah membelanjakan sejumlah RM2.47 juta bagi tempoh tahun 2006 hingga 2009 untuk perolehan 17 buah kenderaan baru. Manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam tempoh yang sama telah membelanjakan sejumlah RM2.29 juta untuk perolehan 20 buah kenderaan baru. Secara keseluruhannya pengurusan kenderaan JKMM adalah tidak memuaskan kerana terdapat kelemahan yang telah mengakibatkan kerugian kepada Kerajaan Negeri dan pembaziran wang awam. Kelemahan yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan kad inden minyak yang tidak dipantau sehingga menyebabkan berlakunya pengisian minyak dalam tempoh yang singkat. Kos penyenggaraan kenderaan yang tinggi melebihi harga perolehan kenderaan antara 143% hingga 281% dalam tempoh lima tahun dari tarikh perolehan. Selain itu berlakunya pembaziran pembelian Sistem Pengesanan Automatik Kenderaan (AVLS) sejumlah RM96,350 yang tidak digunakan. Pengurusan kenderaan di JKR adalah memuaskan kecuali kelewatan tindakan pelupusan bagi membolehkan penggantian kenderaan baru.
2. Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka, Pejabat Daerah Dan Tanah Alor Gajah,
Jabatan Pengairan Dan Saliran dan Jabatan Alam Sekitar - Pengurusan Aktiviti Perlombongan Dan Pengambilan Pasir Dan Kesannya Terhadap Alam Sekitar Projek mendalam dan melebar Sungai Batang Tampin, Mukim Pulau Sebang, Daerah Alor Gajah adalah merupakan projek yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penswastaan Negeri Melaka pada bulan April 2008. Projek bernilai RM12.75 juta ini telah diberikan kepada sebuah Syarikat untuk dilaksanakan dalam tempoh dua tahun meliputi kawasan sungai sepanjang 13.35 kilometer dari Pengkalan ke Pulau Sebang. Sebagai balasan Syarikat dibenarkan mengambil pasir yang dikeluarkan selain perlu membina tebing, landskap dan penanda aras sungai. Secara keseluruhannya pengurusan projek ini adalah tidak memuaskan kerana mengakibatkan gangguan kestabilan tebing dan rejim sungai serta menjejaskan kualiti air sungai. Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah kelewatan penyediaan dokumen perjanjian, ketidakpatuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekitar mengenai syarat pengeluaran pasir oleh Syarikat dan kegagalan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mengambil tindakan terhadap Syarikat kerana tidak mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Pengurusan dokumen perjanjian adalah tidak memuaskan kerana lewat disediakan sehingga Syarikat dibiarkan beroperasi selama lapan bulan tanpa perjanjian. Jabatan yang mewakili Kerajaan tidak dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian manakala spesifikasi projek tidak disediakan oleh Syarikat yang telah menjejaskan kelancaran projek. Syarat JPS mengenai penyediaan Kajian Hidraulik dan Hidrologi sebelum pasir sungai dikeluarkan juga tidak dipatuhi oleh Syarikat. Pelebaran sungai dan kecerunan tebing sungai telah melebihi keluasan yang ditetapkan oleh JPS.
3. Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah - Pengurusan Sisa Pepejal Dan Kesannya Terhadap Alam Sekitar
Perkhidmatan pengurusan sisa pepejal bagi kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah diswastakan kepada Southern Waste Management Sdn. Bhd. (SWM) pada akhir bulan Disember 1998 dengan objektif untuk meningkatkan kecekapan kerja pembersihan dan pelupusan sisa pepejal selaras dengan pembangunan yang pesat. Kawasan seluas 25.56 hektar di Mukim Krubong telah diperuntukkan bagi kerja pelupusan sampah di kawasan pentadbiran MBMB. Kontrak pelupusan sisa pepejal MBMB dengan SWM melibatkan kos sejumlah RM68.61 juta bagi tempoh tiga tahun iaitu dari tahun 2007 hingga 2009. Pada keseluruhannya pengurusan sisa pepejal bagi MBMB boleh dipertingkatkan tetapi pengurusan tapak sisa pepejal adalah tidak memuaskan. Antara kelemahan yang ditemui ialah di peringkat pengurusan kutipan sisa pepejal, pengurusan tapak pelupusan dan penyediaan laporan yang tidak mengikut keperluan Jabatan Alam Sekitar. Jumlah tong sisa pepejal yang dibekalkan tidak menepati bilangan yang ditetapkan. Ketiadaan prosedur dan pemantauan oleh MBMB terhadap tapak pelupusan telah menyebabkan tapak ini tidak disediakan benteng dan longkang bagi menghalang air larutan resap dari keluar ke sungai berhampiran dan tiada proses rawatan air larutan resap dilakukan. Washing bay yang disediakan tidak digunakan dengan sebaiknya serta pengambusan tanah yang tidak secara menyeluruh telah menyebabkan pencemaran bau.
4. Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Majlis Perbandaran Jasin – Pengurusan Pelesenan Premis Perniagaan, Penjaja, Pasar Malam Dan Gerai Majlis
Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) telah meletakkan tanggungjawab pengurusan pelesenan perniagaan, penjaja, pasar malam dan gerai Majlis di bawah pentadbiran Jabatan Pelesenan dan Kesihatan manakala Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di bawah pentadbiran Jabatan Kawalan Perniagaan Dan Perkhidmatan Bandar. Bagi tahun 2006 hingga 2008 hasil lesen yang dikutip oleh MPAG sejumlah RM3.40 juta manakala MPJ pula RM1.82 juta. Peningkatan hasil lesen bagi MPAG dan MPJ setiap tahun bagi tempoh 2006 hingga 2008 adalah kurang dari 8%. Secara keseluruhannya pengurusan lesen di kedua-dua Majlis adalah memuaskan. Antara kelemahan dalam pengurusan lesen ialah pelaksanaan tidak menyeluruh ke atas undang-undang kecil yang diwartakan, premis yang didirikan tidak mempunyai penyewa, premis beroperasi tanpa lesen dan kompaun yang dikeluarkan tidak diambil tindakan susulan. Di MPAG, pelesenan yang telah diwartakan sejak sembilan tahun lalu masih belum dikuatkuasakan lagi kerana tidak diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri bagi menjaga kepentingan orang awam. Sementara perubahan kadar lesen tanpa pewartaan memberi kesan kepada orang awam yang mana telah membayar lesen melebihi kadar yang boleh dikuatkuasakan. Di MPAG dan MPJ terdapat kes premis perniagaan tanpa penyewa sehingga terbiar kosong dan tidak diselenggarakan dalam tempoh yang lama. Di MPAG terdapat rumah tumpangan tidak berlesen disebabkan tidak mempunyai pelan bangunan yang sah. Rumah tumpangan yang beroperasi tanpa lesen boleh memberi kesan kepada penyewa sekiranya berlaku kemalangan di premis tersebut. Di MPJ, lombong pasir telah beroperasi sebelum pengeluaran lesen kerana tiada koordinasi oleh Pejabat Daerah Dan Tanah yang mengeluarkan permit bahan batuan. Sementara larangan menjual barangan haram seperti CD/VCD/DVD cetak rompak tidak dimasukkan dalam syarat pengeluaran lesen bagi tujuan penguatkuasaan.
5. Majlis Agama Islam Melaka – Pengurusan Hartanah Majlis Agama Islam Melaka
Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah menetapkan objektif untuk memastikan semua harta wakaf dan baitulmal diletak hak di atas nama MAIM selaras dengan kuasa yang diberi di bawah Seksyen 77 dan 78 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) Tahun 2002. Pada keseluruhannya pengurusan hartanah MAIM adalah kurang memuaskan kerana telah mengakibatkan kerugian kepada MAIM dan kaedah pengurusan hartanah yang tidak teratur. Kelemahan yang diperhatikan ialah pembangunan tanah oleh MAIM yang dijalankan secara usaha sama, projek pengubahsuaian Kompleks Perniagaan Al-Azim, kaedah pelaksanaan pengurusan hartanah, penyelenggaraan rekod hartanah dan pemantauan hartanah MAIM. Projek pembangunan secara usaha sama dengan Regal Merger Sdn. Bhd (RMSB) telah gagal kerana RMSB telah mengingkari perjanjian dengan tidak membina Kompleks MAIM sehingga tamat tempoh perjanjian pada bulan Jun 2004. Kegagalan penguatkuasaan perjanjian projek usaha sama ini telah mengakibatkan MAIM mendahulukan wang zakat sejumlah RM13.85 juta untuk pembangunan Kompleks MAIM. Juga berlaku kecuaian oleh pihak MAIM yang mengakibatkan tanah milik MAIM terjual kepada pihak ketiga oleh RMSB walaupun pada ketika itu perjanjian usaha sama telah dibatalkan. Manakala, kos projek pengubahsuaian Pejabat Jabatan Agama Islam Melaka telah ditanggung oleh MAIM melalui pendahuluan dari peruntukan Baitulmal berjumlah RM1.80 juta. Pemantauan yang tidak berkala dan berterusan oleh pihak MAIM telah mengakibatkan berlakunya kelewatan pendaftaran tanah wakaf, pencerobohan tanah baitulmal dan lokasi tanah wakaf tidak dapat dikesan.
BAHAGIAN II – PENGURUSAN SYARIKAT KERAJAAN NEGERI
6. Melaka International Trade Centre Sdn. Bhd.
Melaka International Trade Centre Sdn. Bhd. (MITC) adalah merupakan syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dengan modal berbayar sejumlah RM1 juta dan telah beroperasi mulai tahun 2003. Objektif MITC adalah untuk menyediakan tempat persidangan, konvensyen, tempat perniagaan dan pameran yang terbesar di Melaka. Aktiviti yang telah dijalankan di MITC adalah pameran pengguna, pusat pelancongan antarabangsa, persidangan raja-raja, pameran pelaburan antarabangsa, pusat seminar dan konvensyen. MITC mengalami kerugian bersih bagi dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2007 dan 2008 manakala tahun 2009 MITC telah memperoleh keuntungan. Pada keseluruhannya, pengurusan MITC adalah kurang memuaskan. Antara kelemahannya ialah ketidakupayaan kewangan MITC dalam membuat pembayaran mengikut jadual sehingga menyebabkan pinjaman, pendahuluan dan sewa tertunggak dengan PKNM. Setakat Januari 2009, MITC hanya mampu menjelaskan hutang sejumlah RM0.17 juta kepada PKNM dan mempunyai baki RM6.99 juta lagi yang perlu dijelaskan. Walaupun MITC ipertanggungjawabkan untuk membuat kerja penyenggaraan kecil ke atas bangunan, namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana masalah kewangan yang serius. Sistem kamera litar tertutup tidak berfungsi kerana ia melibatkan kos yang tinggi kepada MITC. Pembayaran bonus dibuat walaupun MITC mengalami kerugian serta tidak mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.
7. Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn. Bhd.
Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn. Bhd. (PSHM) dimiliki oleh Kerajaan Negeri Melaka di bawah Perbadanan Ketua Menteri Melaka dengan pegangan saham berjumlah RM18.68 juta (70.5%). Objektif PSHM adalah untuk menawarkan semua jenis rawatan perubatan. PSHM memperoleh keuntungan bersih bagi tahun 2007 dan 2009 tetapi mengalami kerugian bersih pada tahun 2008. Pada keseluruhannya pengurusan aktiviti utama PSHM adalah kurang memuaskan. Antara kelemahannya ialah ketidakupayaan kewangan PSHM dalam membuat pembayaran sewaan bangunan mengikut jadual kepada Tabung Amanah Melaka. Jumlah tunggakan hutang bagi sewaan bangunan, wang pendahuluan dan bayaran penalti kepada Tabung Amanah Melaka sehingga Disember 2009 adalah berjumlah RM29.77 juta. Manakala sejumlah RM7.51 juta bayaran ansuran telah dibayar kepada TAM sehingga 30 Jun 2010. Sementara tunggakan hutang bil pesakit semakin meningkat, sehingga Disember 2009 berjumlah RM14.50 juta. PSHM menuntut bil pesakit yang dilindungi insurans daripada Syarikat Insurans melebihi amaun yang dilindungi. Pemberian diskaun ke atas bil pesakit pula tidak ditetapkan kadar. Pengurusan perolehan tidak mengikut proses tender dan sebut harga, bil lewat dijelaskan kepada pembekal dan wujud komisen pemungut hutang diragui. Dividen tidak pernah dicadangkan walaupun PSHM mendapat keuntungan dan pembayaran bonus dibuat untuk tahun 2008 berjumlah RM0.50 juta ketika PSHM mengalami kerugian. Bayaran bonus berjumlah RM0.80 juta bagi tahun 2009 telah dibayar sebelum akhir tahun walaupun penyata kewangan masih belum ditutup.
0 comments:
Post a Comment