Berita Harian 1 Okt 2010
Penduduk Kampung Sungai Siput marah kenderaan berat rosak jalan utama berturap
MASJID TANAH: Penduduk di Kampung Sungai Siput, Lubok China, dekat sini terpaksa memendam rasa sejak sekian lama apabila jalan utama berturap yang menghubungkan kawasan itu dengan dunia luar masih rosak teruk dan tidak diperbaiki sehingga kini.
Tinjauan Berita Harian mendapati Jalan Kemadak sepanjang lima kilometer itu berkeadaan demikian dipercayai akibat dilalui secara berterusan oleh lori seberat 10 tan selama beberapa tahun untuk mengangkut keluar kayu getah dari situ. Sudah banyak aduan didakwa diajukan kepada pihak berkuasa terbabit, tetapi sehingga kini belum ada tindakan diambil bagi memperbaiki kerosakan berkenaan. Penduduk, Abdul Karim Abdul Rahman, 56, berkata kerosakan jalan berkenaan menyukarkan orang ramai untuk keluar masuk ke situ terutama pada waktu malam atau hujan lebat.
Katanya, sebelum lori pengangkut balak berkenaan memasuki kawasan kampung terbabit pada 2005 dan menghentikan operasi beberapa tahun kemudian, jalan berturap itu berada dalam keadaan baik dan memudahkan penduduk bergerak.
"Memang benar banyak lori dikesan keluar masuk membawa kayu getah melalui jalan ini hingga mengakibatkan Jalan Kemadak rosak teruk dan berlubang di sepanjang jalan.
"Dulu mereka (pemilik lori) berjanji untuk memperbaiki kerosakan ini tetapi sampai sekarang masih tidak ada perubahan. Saya dimaklumkan mereka pernah menurap jalan ini, tetapi ia dilakukan secara ala kadar saja, menjadikan keadaan jalan tetap sama hingga kini.
"Saya minta pemilik lori terbabit segera menunaikan janji demi keselesaan penduduk di sini. Jika boleh, kita juga meminta pihak berkuasa terbabit tampil membantu sebab ini adalah laluan utama penduduk keluar masuk sepanjang masa," katanya.
Rakannya, Rasmi Abu Surah, 35, berkata Kampung Sungai Siput agak mundur berbanding kampung lain termasuk keadaan jalan utama menghubungkan kawasan itu dengan dunia luar yang tidak sempurna.
Katanya, pada masa ini satu jalan alternatif ke kampung itu tetapi belum berturap, sekali gus ia tidak sesuai digunakan untuk semua jenis kenderaan terutama pada waktu hujan.
"Kita harap pihak berkuasa meneliti masalah penduduk di sini yang memerlukan perhatian segera. Saya sudah 35 tahun menetap di sini, tetapi isu pembangunan di kawasan kami nampaknya belum berjaya diselesaikan," katanya.
Rasmi berharap dengan pengisytiharan Melaka sebagai negeri maju pada 20 Oktober ini, ia sedikit sebanyak akan membuka mata banyak pihak untuk memajukan kawasan berkenaan, sekali gus mampu meningkatkan taraf hidup penduduk di situ.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_Lorilanyak/Article
0 comments:
Post a Comment