10/22/10

Pembangkang bela peniaga Pasar Alor Gajah

Sinar Harian 22 Okt 2010

ALOR GAJAH - Rasa tidak puas hati sekumpulan peniaga Pasar Alor Gajah, dekat sini berikutan tindakan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengeluarkan saman turut mendapat perhatian pemimpin pembangkang.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Melaka, Adli Zahari berkata, isu itu sebenarnya sudah wujud sejak bermulanya operasi menaik taraf perhentian bas di pekan berkenaan.

Akibatnya, katanya, ia menyebabkan perniagaan di pasar berkenaan terjejas.

Beliau yang turun padang selepas mendapat aduan daripada peniaga meminta MPAG bertolak ansur dengan peniaga selepas banyak kawasan sekitar pasar berkenaan ditutup untuk operasi naik taraf perhentian bas.

Katanya, tindakan saman itu mengakibatkan pendapatan peniaga terjejas sehingga 50 peratus kerana kurangnya pelanggan akibat kesukaran tempat meletak kereta.

“Kalau kita tengok hari ini pun, pasar ini lengang saja dan tidak ada orang hendak datang disebabkan mereka takut kenderaan mereka disaman. Sedangkan tempat meletakkan kereta menjadi masalah dan MPAG perlu ambil kira faktor ini," katanya.

Beliau berkata, adalah tidak masuk akal apabila anggota penguat kuasa sanggup mengeluarkan saman atas nama ‘tuan punya kereta sorong’ dan menyelitkan surat saman berkenaan di tepi kereta sorong, sedangkan peniaga tidak menjalankan perniagaan pada hari itu.

“Ini menjadi kebimba-ngan apabila nanti muncul pula ‘tuan punya bakul, tuan punya sayur’ dan ini bagi saya sudah melampau. Malah ada antara peniaga yang disaman pada tarikh mereka menjelaskan bayaran saman sebelumnya dan ini mewujudkan diskriminasi terhadap peniaga," katanya.

Ketua Pemuda DAP Negeri Melaka, Tey Kok Kiew pula menyifatkan sikap segelintir anggota penguat kuasa MPAG menggunakan bahasa kesat terhadap peniaga seperti ‘binatang’ dan ‘anjing’ adalah tidak bermoral dan tidak bertamadun.

“Kompaun dikeluarkan pihak majlis adalah satu kos yang tinggi bagi peniaga ditambah pula dengan hasil perniagaan yang terjejas teruk apabila pengguna semakin kurang untuk datang membeli barang di pasar ini.

“Saya berharap Yang di-Pertua MPAG dapat membuat satu sesi dialog dengan peniaga supaya dapat menjelaskan kepada mereka perkara yang sebenar agar mereka dapat menjalankan perniagaan dengan selesa dan tidak memberi tekanan kepada mereka,” katanya ketika ditemui di pasar berkenaan.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8318109.asp

0 comments: