10/5/10

Peniaga Melayu dah hilang kuasa di Johor Bahru

Berita Harian 5 Okt 2010 - Pengusaha gerai di Danga Bay Festive Mall diarah kosongkan premis rayu pembelaan. Buntu memikirkan perniagaan terpaksa ditutup, lebih 300 pengusaha gerai di kompleks beli-belah Danga Bay Festive Mall di sini merayu campur tangan pihak berkuasa bagi membela nasib mereka.

Wakil peniaga, Abdul Rahim Atan, 47, berkata tindakan pihak pengurusan kompleks meminta peniaga mengosongkan bangunan sebelum 31 Disember ini menyebabkan lebih 700 pekerja bakal diberhentikan.

Katanya, peniaga memahami pihak pengurusan berhak mengarahkan mereka keluar selepas kawasan berkenaan dijual kepada syarikat lain bagi memberi laluan projek pembinaan komersial berskala besar. “Bekalan pendingin hawa dan jalan masuk ke tapak gerai sudah ditutup dalam tempoh seminggu lalu. Kami meminta campur tangan pihak berkuasa kerana peniaga menanggung kerugian.

“Peniaga kecewa dengan sikap mereka yang terus mengambil deposit daripada penyewa baru sedangkan sudah maklum tempat berkenaan bakal ditutup.

“Saya minta pihak berkuasa mengeluarkan surat segera bagi memulihkan kembali keadaan ini dan meninjau sendiri keluhan kami yang sudah mengeluarkan belanja besar untuk pengubahsuaian kedai,” katanya di sini.

Abdul Rahim berkata, sebagai langkah penyelesaian sementara peniaga mengharapkan kerajaan negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Johor membangunkan tanah miliknya di Teluk Danga sebagai tapak penempatan semula perniagaan mereka.

“Walaupun pengurusan menawarkan tempat sewa gerai baru di Danga City Mall, kami terpaksa menolaknya kerana kawasan itu kekurangan pengunjung dan jauh dari lokasi asal.

“Malah, bukan semua peniaga mendapat tawaran berkenaan dan hanya ada beberapa unit saja di situ kerana itulah kami secara kolektif menolak tawaran berkenaan.

“Kami harap pihak UPEN Johor mempertimbangkan cadangan kami supaya tanah miliknya di Lot PTB 21357 di Teluk Danga dijadikan tempat perniagaan sementara dan segala kos pembinaan boleh dibincangkan bersama nanti,” katanya.

Beliau berkata, peniaga meminta kebenaran pemanjangan waktu operasi harian sehingga akhir tahun ini bagi meraih pendapatan tambahan untuk menampung kerugian dialami.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Keluhanpeniaga/Article

0 comments: