CUTI JUMAAT

CUTI JUMAAT

10/26/10

Projek terbengkalai di pusat bandar Melaka Maju 2010


Projek terbengkalai di tengah kawasan bersejarah
Utusan Malaysia
MELAKA 25 Okt. 2010 - Siapa sangka di sebalik kepesatan pembangunan pelbagai produk pelancongan baru termasuk jalan yang sedang dinaik taraf di tengah-tengah pusat bandar ini, terdapat sebuah projek terbengkalai dipercayai terbiar sejak lebih dua bulan lalu.

Agak mengejutkan, projek terbengkalai itu betul-betul terletak di tengah-tengah kawasan bersejarah yang menjadi tumpuan pelancong seperti Kota A' Famosa, Bangunan St. Paul, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dan replika istana Kesultanan Melayu Melaka.

Lebih malang, tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati, kerja-kerja pembinaan yang tertangguh menyebabkan air bertakung sehingga membentuk sebuah kolam berukuran kira-kira lapan meter panjang dan empat meter lebar di dalam kawasan projek itu.

Keadaan tersebut menyebabkan kawasan projek yang berpagarkan zink setinggi dua meter itu tidak ubah seperti kolam pembiakan nyamuk aedes selain kawasan persekitaran yang dipenuhi sisa sampah pembinaan.

Projek terbengkalai dimaksudkan ialah kerja-kerja mengubahsuai Dataran Cahaya dan Bunyi di belakang pusat beli belah Dataran Pahlawan Megamall yang dipercayai terhenti sejak lebih dua bulan yang lalu.

Tinjauan juga mendapati, tiada papan maklumat yang menyatakan jenis projek, nama kontraktor serta tarikh projek tersebut bermula dan dijangka siap diletakkan di kawasan projek terbabit.

Keadaan batu bata yang sudah berlumut, tong minyak yang sudah berkarat, rumput yang panjang melata di lantai termasuk melitupi timbunan pasir di situ sudah cukup untuk menggambarkan projek terbabit terbiar untuk satu tempoh yang lama.

Persekitaran kawasan terbabit yang sunyi sehingga tidak menampakkan seorang pekerja pun, sedangkan tinjauan dilakukan pada pukul 3 petang menguatkan lagi dakwaan ia sebagai projek terbengkalai.

Tinjauan mendapati, hanya bahagian hadapan kapal yang sempat siap manakala beberapa cerucuk besi masih tertanam di dasar 'kolam' terbabit yang dipenuhi lumut dan rumput di tengah-tengahnya.

Pada masa sama, di bahagian hadapan pusat beli belah itu, kerja-kerja menaik taraf jalan raya menjadi lima lorong dan pembinaan sebuah hotel yang mempunyai 1,100 unit pangsapuri dan 250 buah bilik sedang giat dijalankan.

Sebagai sebuah negeri pelancongan yang baru sahaja diisytihar sebagai negeri maju Rabu lalu, keadaan ini tentu sekali akan mencacatkan nama Melaka di mata pelancong dalam dan luar negara.

Apatah lagi, projek terbengkalai itu berlaku di tengah-tengah kesibukan pusat bandar yang menjadi tumpuan ribuan pelancong saban hari.

Sebagai makluman, kali terakhir Dataran Cahaya dan Bunyi itu digunakan ialah pada Ogos 2008 yang menganjurkan pertunjukkan multimedia Api Atas Air (Fire On Water) sepanjang bulan itu.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_07.htm

No comments: