10/25/10

Rumah macam reban ayam di kawasan selamat UMNO Melaka


Datuk Seri Najib Tun Razak mahu UMNO serta semua sayap parti mengadakan lebih banyak program berbentuk mendampingi rakyat di kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang dan bukannya di kawasan selamat.- Utusan Malaysia 17 Okt. 2010

'Reban ayam' jadi tempat berteduh
Sinar Harian 25 Okt 2010

KAMPUNG PADANG - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, begitulah boleh diibaratkan kehidupan Junita Jaafar, 30, yang terpaksa menetap di sebuah rumah kecil seperti 'reban ayam'.

Meninjau ke rumah Junita, kelihatan ruang rumahnya di mana dia dan keluarga tidur, memasak dan segalanya berlaku di ruang sempit itu.

Bagi mereka yang berada, mungkin kotak kecil itu kelihatan seperti bilik stor yang hanya menanti masa untuk dirobohkan sahaja.

Junita berkata, dia dan suaminya, Borhan Ibrahim, 35, mendirikan rumah berkenaan sebagai tempat berlindung bagi mereka sekeluarga.

Menurutnya, tapak rumah berkenaan adalah tapak pusaka ibu mertuanya.

“Kami mempunyai dua anak yang masih kecil, bagaimanapun nasib tidak menyebelahi kami kerana tidak mampu untuk hidup lebih baik berbanding orang lain,” katanya.

Junita berkata, suaminya hanya bekerja sebagai buruh awam dan pendapatannya tidak tetap.

“Jika ada kerja, adalah rezeki kami, jika tidak sebaliknya hanya bergantung kepada pendapatan saya sebagai pekerja di kilang membuat batu nisan di sini.

“Malah, pendapatan saya pula hanya RM450, untuk makan dan menguruskan keperluan harian pun sekadar yang mampu,” katanya.

Dia bernasib baik dapat menumpang di rumah kakak dan abang iparnya apabila hendak menggunakan elektrik dan air.

“Setakat ini hanya kepada merekalah tempat kami mengadu dan menumpang, tetapi sampai bila mereka hendak menanggung kami,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah dikunjungi pihak berkenaan yang menguruskan permohonan rumah PPRT buatnya.

“Mereka mengatakan akan membina rumah PPRT bagi menggantikan rumah yang kami duduki kini.

“Tetapi hari demi hari, janji hanya tinggal janji dan sudah dua tahun berlalu kami masih berlindung di rumah ini,” katanya.

Junita berkata, diharapkan pihak berkenaan dapat membantunya menguruskan rumah PPRT baru memandangkan anak-anaknya semakin membesar.

“Besar harapan saya untuk melihat anak-anak mendapat perlindungan yang lebih sempurna.

“Semoga impian saya untuk mendapatkan rumah yang lebih baik dan selesa termakbul dengan keprihatinan pihak berkenaan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8330691.asp

0 comments: