Berita Harian 25 Okt 2010
Perniaga dakwa pelanggan takut singgah di Pasar Awam Alor Gajah
ALOR GAJAH: Perniagaan di Pasar Awam Alor Gajah didakwa kian malap apabila banyak peniaga dan pelanggan menjauhinya angkara tidak tahan dengan ketegasan penguat kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang mengeluarkan saman tanpa timbang rasa. Tindakan tegas MPAG yang tidak memberi muka kepada pesalah letak kenderaan turut dirasai 40 peniaga di pasar berkenaan sejak dua bulan lalu meskipun kesalahan kecil lazimnya boleh diselesaikan menerusi notis amaran. Kira-kira 40 peniaga pasar di pekan Alor Gajah, yang ditemui Berita Harian mengaku kecewa dengan tindakan penguat kuasa MPAG yang kerap mengeluarkan notis saman atas kesalahan kecil sejak kebelakangan ini.
Ada peniaga tidak puas hati dengan sikap kasar segelintir pegawai penguat kuasa MPAG yang bersikap biadab, termasuk menghamburkan kata-kata kesat terhadap mereka.
Akibat tertekan dengan saman setiap bulan itu, mereka kini menuntut kerajaan negeri campur tangan menasihati pegawai MPAG supaya lebih berhemah ketika menjalankan tugas.
Peniaga, Leong Mei Wah, 47, berkata, dia disaman anggota penguat kuasa MPAG atas kesalahan meletakkan barang jualan di luar kawasan tapak perniagaan sehingga menghalang laluan.
"Saya memang keliru dengan peraturan MPAG kerana dalam satu perjumpaan membabitkan peniaga dan MPAG tidak lama dulu, kami dimaklumkan kawasan dibenarkan untuk meletak barang.
“Saya letak bekas ini dekat sini sebab saya berniaga setiap hari, sukar sekiranya saya hendak membawa barang pulang setiap hari dan sehingga kini sudah dua saman saya terima, satu pada bulan lalu dan satu dalam bulan ini," katanya.
“Peniaga disaman antara RM50 hingga RM250, iaitu sama dengan purata keuntungan harian, kalau saman ini berlarutan, mana kami boleh tahan sebab setiap kali mereka menyerbu ke sini, ada pelanggan pun lari sebab tak gemar melihat gelagat kasar mereka," katanya.
Rakannya, Ng Swee Hun, 40, berkata, pendapatannya kini merosot sehingga 70 peratus angkara mengumpul wang untuk menyelesaikan pelbagai bayaran kompaun.
“Setiap hari mereka tekan kami dengan saman, kalau selalu begini bagaimana kami mahu cari makan, duit berniaga habis bayar saman, bukan peniaga saja disaman, sebaliknya pelanggan yang tengah beli barang turut terkejut apabila kenderaan mereka disaman," katanya.
Peniaga buah-buahan, Muhammad Ridzuan Rosman, 20, berkata, dia menerima 14 saman dalam bulan ini dan menahan telinga mendengar kata-kata kesat daripada anggota penguat kuasa ketika menyaman.
“Pasar ini semakin lengang kerana pelanggan juga seolah-olah takut ke sini kerana bimbang kenderaan mereka disaman, walhal tempat kereta amat terhad, penduduk semakin bertambah.
"MPAG tidak langsung bersikap properniagaan, sedangkan hasil cukai dikutip, ini jelas berlawanan dengan dasar kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat,'' katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_Seksakenasaman/Article
0 comments:
Post a Comment