10/28/10

Seremban ada banyak bangunan hantu, apa tindakan semua

Seremban adalah tempat yang baik untuk tinggal atau persaraan tapi bukan tempat yang baik untuk pelaburan. Nilai hartanah serta harga sewa rumah di Seremban ini tidak banyak naik sejak bertahun-tahun yang lalu. RM 300 masih boleh dapat sewa rumah teres di sini. Tidak hairanlah banyak kawasan komersial dan perumahan yang tidak berpenghuni di sekitar Seremban, Senawang dan Nilai.

Kerajaan negeri harus melakukan sesuatu untuk memulihkan fenomena bangunan hantu, rumah hantu dan kedai hantu di negeri ini. Tidak hairanlah hasil kutipan kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 2009 menurun ke RM 247.79 Juta berbanding RM 260.70 Juta yang dikutip pada tahun 2008.

Tengok sahaja bayaran letak kereta. Kalau di Seremban hari Ahad bayaran letak kereta di tepi jalan adalah percuma, sedangkan di Melaka hari Ahad tetap dikenakan bayaran letak kereta. Ini menunjukkan Seremban dan beberapa kawasan lain di negeri ini bukanlah destinasi hujung minggu atau destinasi pelancongan.

Apa ke tidaknya, kalau dilihat Laporan Ketua Audit Negara 2009 perbelanjaan untuk pelancongan telah menurun kepada RM 1.94 Juta berbanding RM 4.45 Juta pada tahun 2008.

Laporan Ketua Audit Negara 2009 telah pun keluar. Adakah semua wakil rakyat di Negeri Sembilan ini , tak kiralah UMNO ke, PAS ke, DAP ke, PKR ke baca setiap lebaran Laporan Ketua Audit Negara ni ?

Takkan nak suruh rakyat yang bukan dibayar elaun dan gaji untuk menjaga hal ehwal negeri ini untuk membaca setiap lebaran laporan tersebut dan memberi komen ? Apa guna jadi Menteri Besar, EXCO, Wakil Rakyat kalau tak baca dan beri komen terhadap laporan Ketua Audit Negara tersebut ? Jangan baca yang positif je, baca yang negatif juga untuk diperbaiki.

Kalau tak , akan bertambahlah bangunan hantu, rumah hantu, kedai hantu di negeri ini macam laporan akhbar di bawah ini.

Saya nak tanya juga, wakil rakyat negeri lain dan ahli parlimen , baca tak setiap lebaran laporan Ketua Audit Negara, atau baca dari akhbar sahaja ? Atau sedang sibuk berpolitik, berceramah pilihanraya dan merebut jawatan dalam parti ?

****************
Bangunan 'hantu' jadi sarang penjenayah

Utusan Malaysia 28 Okt 2010

SEREMBAN 27 Okt. - Penduduk yang mendiami kawasan perumahan di Seremban Jaya, dekat sini sudah bosan dengan kewujudan bangunan 'hantu' yang ditinggalkan sepi.

Sudahlah tidak berpenghuni, kotor, busuk dan kini menjadi tempat longgokan sampah serta kediaman bagi 'orang yang tidak dikenali' serta paling membimbangkan menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes dan markas jenayah.

Senario itu adalah hakikat yang terpaksa dihadapi penduduk terutamanya di Jalan SJ 8/1, Seremban Jaya dekat sini apabila bangunan kedai yang ditinggalkan sepi telah mendatangkan banyak masalah kepada mereka.

Salah seorang penduduk, Adnan Abu Bakar, 39, berkata, mereka sudah bosan dengan keadaan itu dan tidak sanggup lagi menghadapinya.

"Hampir tiga tahun saya tinggal di sini dan berjiran dengan bangunan tinggal itu. Saya tidak tahu, siapa yang sepatutnya membersihkan bangunan dan kawasan berkenaan.

"Pihak berkuasa pula, buatlah sesuatu. Kalau pun itu bangunan persendirian, apa pula kisahnya di kawasan sekitar yang kotor dan terbiar itu," katanya di sini, hari ini.

Adnan berkata, derita rakyat di kawasan berhampiran bangunan 'hantu' itu perlu juga diberi perhatian dan kerajaan negeri perlu mendesak pemilik bangunan berkenaan melakukan pembaikan atau apa sahaja yang tidak mencacatkan pemandangan.

"Tengoklah, bangunan habis rosak, sampah sarap bertaburan. Tilam buruk pun ada. Kerusi lama dibuang di situ. Apa cerita ini?

"Itu tidak kira tong, botol atau apa sahaja yang boleh menakungkan air. Kami di sini bimbang diancam nyamuk aedes. Cuba tengok kawasan ini juga boleh menjadi sarang jenayah pada bila-bila masa," katanya.

Sementara itu, Masri Nazir, 38, berkata, bangunan tinggal itu yang tidak diselenggara boleh mendatang banyak masalah kepada penduduk.

Masri memberitahu, kawasan yang dilihat 'selamat' kepada penjenayah itu sebenarnya tidak membawa keselamatan kepada penduduk, apatah lagi dibimbangi ia menjadi markas melakukan aktiviti jenayah.

"Kadang kala dengan kawasan yang begitu sunyi, gelap dan terpencil itu, ia boleh bertindak apa sahaja. Saya berharap, bukan sahaja pihak berkuasa tempatan, tetapi polis juga disaran memantau keadaan di sini dengan lebih kerap," katanya.

Apa yang mengecewakan, Masri mendakwa, kadang kala terdapat golongan belia yang melepak di situ dan menganggap ia sebagai 'zon selamat' kerana tiada pemantauan pihak berkuasa.

Sementara itu, seorang pengadu yang ditemui Utusan Malaysia berkata, sikap orang ramai yang gemar membuang sampah di kawasan bangunan tinggal itu juga amat dikesali.

"Kalau saya bawa kereta di bangunan tinggal itu, hati sentiasa bimbang kerana kita tidak tahu apa yang bakal berlaku. Manalah tahu, di celah bangunan itu, tiba-tiba keluar orang datang menyerang.

"Kadang kala nak tegur pun salah, takut mereka menjadi marah, jadi kita buat tak tahu sahaja," katanya yang bekerja sebagai mekanik di salah sebuah bangunan berhampiran bangunan tinggal itu.

Lebih unik lagi, bangunan 'hantu' itu sudah pun ditumbuhi pokok di celah simen yang mula meretak.

Dalam pada itu tinjauan Utusan Malaysia di kawasan bangunan 'hantu' di Seremban Jaya mendapati, terlalu banyak kotoran.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm

0 comments: