Sinar Harian 18 Nov 2010
JASIN – Ketibaan Aidiladha tahun ini pastinya membawa maksud yang sama buat penduduk sekitar Kampung Kesang Pajak/ Pondok Kempas dan Kampung Selandar sejak 10 tahun ini.
Ini kerana, seiring dengan maksud ‘korban’, mereka juga terpaksa mengorbankan ketenangan dan kedamaian dinikmati sejak beberapa ladang ternakan ayam dibuka di kawasan berkenaan.
Sinar Harian dimaklumkan, terdapat sembilan ladang ternakan ayam telur diusahakan di kawasan sekitar.
Bilal wanita Masjid Al-Iffah Selandar, Zalila Sharif, 62, berkata, kedudukan salah sebuah ladang ternakan ayam yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya, hanya mengundang: kesengsaraan kepadanya sekeluarga.
Menurutnya, mereka sekeluarga ibarat tinggal di dalam penjara akibat sering terkurung di dalam rumah, malah pintu dan cermin tingkap juga terpaksa ditutup.
"Kedudukan rumah bersebelahan dengan jalan ke kilang ayam terbabit menyebabkan lebih daripada lima lori pelbagai jenis menggunakan jalan ini setiap hari.
“Justeru, bagi mengelakkan rumah daripada berhabuk, saya terpaksa menutup cermin sejak lebih 10 tahun lalu sehinggakan cermin yang ditutup tidak boleh dibuka semula akibat berkarat," katanya.
Zalila berkata, selain masalah habuk, bau daripada lori yang membawa najis ayam juga menimbulkan rasa kurang selesa terutama ketika mereka menikmati makan tengah hari.
“Setiap hari, bermula jam 5.30 pagi hingga 7 malam, pelbagai jenis lori untuk membawa makanan ayam, najis dan telur ayam melalui jalan ini,” katanya.
Sementara itu, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Selandar, Kudin Awing, 73, berkata, walaupun kedudukan Kampung Selandar dua kilometer dari lokasi ternakan ayam itu tetapi kesannya turut dirasai penduduk berhampiran.
Menurutnya, masalah bau tidak dapat dielakkan dan timbul tanpa mengira masa serta keadaan.
“Memang malu jika tetamu datang ke rumah dan bertanyakan mengenai bau kurang menyenangkan ini.
“Masalah ini tidak pernah selesai sejak lebih 10 tahun lalu,” katanya.
Pengerusi Lembaga Masjid Al-Iffah Selandar, Aripin Ali, 72, berkata, penduduk juga terpaksa berdepan dengan kehadiran lalat yang banyak.
"Saya bimbang lalat ini akan menjejaskan kesihatan penduduk. Walaupun pelbagai usaha dilakukan tetapi lalat ini tetap menghantui kehidupan kami," katanya.
Abu Bakar Koming, 64, pula berkata, dia terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk membeli ubat bagi mengatasi masalah lalat ketika majlis perkahwinan, dua tahun lalu.
"Memang tidak selesa dan masalah masalah ini pernah mendapat perhatian pihak berkenaan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta wakil Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Pejabat Daerah dan Tanah serta JKKK dengan mengadakan lawatan ke tapak kilang ayam, lima tahun lalu.
"Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil. Lebih 1,000 keluarga yang menetap di kawasan ini sedih dengan keadaan ini dan berharap pihak berkenaan dapat mengatasi masalah dihadapi kerana pelbagai aduan telah dibuat," katanya.
Pengerusi JKKK Selandar, Abu Dolah Hitam pula berkata, masalah itu sering diutarakan dalam mesyuarat JKKK tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8418499.asp
0 comments:
Post a Comment