Utusan Malaysia 25 Nov 2010
BAJET 2011 yang dibentangkan pada 15 Oktober lalu memperuntukkan sejumlah RM212 bilion. Sejumlah RM162.8 bilion diperuntukkan bagi bidang pengurusan manakala selebihnya (RM49.2 bilion) bagi sektor pembangunan.
Dalam Bajet 2011 juga Perdana Menteri telah menggariskan empat strategi. Antaranya, membangunkan modal insan dan mensejahterakan hidup rakyat.
Justeru, bagi merealisasikan hasrat tersebut, penambahan bilangan sekolah amat diperlukan kerana pembentukan modal insan bermula di sekolah. Melalui pendidikan rakyat dapat mengubah kehidupan ke arah lebih berjaya.
Mengimbas 'Hari Ini Dalam Sejarah', pada akhir tahun 2009 yang lalu, Menteri Besar Johor telah melawat tapak pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang bakal menjadi mercu tanda pekan kecil Parit Ya'ani.
Papan tanda juga telah dipacakkan di lokasi tersebut. Khabarnya, sekolah menengah tersebut akan dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-10. Namun sehingga saat ini penduduk sekitar pekan Parit Ya'ani masih lagi tertunggu-tunggu dan ternanti-nanti untuk menyaksikan berdiri gahnya sekolah menengah tersebut.
Saya juga tertanya-tanya bilakah akan diadakan majlis pecah tanah untuk memulakan pembinaannya? Untuk makluman, berita tentang pembinaan sekolah menengah di pekan Parit Ya'ani tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia pada hari Rabu 26 Februari 2008.
Mengimbau nostalgia, sejak tahun 1965, anak-anak di sekitar pekan Parit Ya'ani (termasuk saya) terpaksa meneruskan sekolah menengah di Yong Peng, Tongkang Pechah, Seri Medan dan Parit Raja.
Pada tahun 1976, barulah SMK Dato' Seth dibuka dengan dua sesi persekolahan. Bagi pelajar tingkatan peralihan dan tingkatan satu terpaksa bersekolah pada sesi petang kerana kekurangan bilik darjah. Hal ini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada pelajar terutamanya yang tinggal di sekitar pekan dan kampung Parit Ya'ani.
Ada juga pelajar yang menunggang motosikal untuk ke SMK Dato' Seth yang sudah tentunya mengundang risiko bahaya kemalangan. Ada kalanya pelajar ini terpaksa berhujan untuk pergi dan pulang sekolah.
Masalah ini berterusan sehingga sekarang. Justeru, pembinaan sekolah menengah di kawasan pekan Parit Ya'ani perlu disegerakan agar masalah tersebut dapat diatasi.
Saya dan semua ibu bapa di sekitar Parit Ya'ani memohon jasa baik Kementerian Pelajaran untuk mengambil perhatian yang serius tentang masalah ini. Sebagaimana program transformasi kerajaan ke arah 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan' begitu jugalah besarnya harapan kami agar kami tidak dianaktirikan dalam arus pembangunan setelah 54 tahun negara kita merdeka. Kami sentiasa menanti jawapan.
ANAK JATI JOWO
Parit Ya'ani, Johor
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm
0 comments:
Post a Comment