11/15/10

Di Johor pun masjid tak siap siap , mana wang zakat?

Di Johor pun masjid tak siap-siap juga. Dah tujuh bulan terbengkalai. Mana pergi wang zakat? Patutlah laporan Ketua Audit Negara 2009 mendedahkan banyak kelemahan di Johor dari kes pasir, kes pelancongan, kes kemudahan awam, kes mahkamah syariah. Apakan daya, Johor kawasan selamat UMNO.

(Datuk Seri Najib Tun Razak mahu UMNO serta semua sayap parti mengadakan lebih banyak program berbentuk mendampingi rakyat di kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang dan bukannya di kawasan selamat.- Utusan Malaysia 17 Okt. 2010)

Gambar-gambar menarik dari kes pasir, kes pelancongan, kes kemudahan awam, kes mahkamah syariah dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009 di http://amkns.blogspot.com/2010/11/johor-kritikal-hakim-syariah-pendedahan.html


MASJID TAK SIAP SARANG NYAMUK

Berita Harian 14 Nov 2010

Projek RM1.7j terbengkalai sejak tujuh bulan lalu patut disambung segera

JOHOR BAHRU: Kira-kira 10,000 penduduk sekitar Taman Gaya, Ulu Tiram, di sini kecewa berikutan pembinaan masjid di taman berkenaan yang sepatutnya siap pada Mac lalu hanya siap kira-kira 60 peratus dan terbengkalai hingga kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Datuk Abdul Halim Suleiman, berkata projek yang bernilai RM1.7 juta itu kini terbengkalai sejak tujuh bulan lalu menyebabkan ia tidak dapat digunakan untuk orang ramai beribadat.

Beliau berkata, masjid yang boleh memuatkan kira-kira 1,300 jemaah pada satu masa itu dibina untuk kemudahan lima kawasan iaitu Taman Gaya, Desa Tebrau, Taman Pelangi Indah, Taman Puteri Wangsa dan Taman Mount Austin.

Katanya, dia sudah membangkitkan masalah berkenaan ke mesyuarat Majlis Tindakan daerah sebanyak dua kali sebelum ini serta meminta Jabatan Kerja Raya segera mencari pengganti dengan memilih kontraktor baru bagi meneruskan projek pembinaan masjid.

Saya berharap pemberian tender membina masjid berkenaan dilakukan segera serta tidak dibiarkan berlarutan bertahun-tahun supaya kosnya dapat dikurangkan bagi membolehkan barangan yang sudah dibeli tidak rosak dan dapat digunakan ketika menyambung kerja terbengkalai itu.

Selain itu, saya meminta JKR memilih kontraktor yang benar-benar layak dalam melaksanakan setiap projek kerajaan, memilih tender dengan harga boleh diselesaikan dan tidak hanya yang terendah bagi mengelak projek terbengkalai seterusnya menjejaskan imej kerajaan pada masa akan datang, katanya ketika meninjau masalah masjid berkenaan, baru-baru ini.

Seorang penduduk, Kartini Ahmad, 57, berkata penduduk di sekitar taman berkenaan begitu teruja dan gembira dengan pembinaan masjid itu berikutan memerlukan rumah ibadat itu untuk melaksanakan aktiviti keagamaan dengan selesa.

Beliau berkata, kebanyakan penduduk begitu berharap dan menjangkakan berpeluang menunai solat Tarawih, Aidilfitri dan Aidiladha di dalam masjid baru jika ia dapat disiapkan pada Mac lalu.

Namun, kami sedih apabila masjid itu terbengkalai dan hanya dapat disiapkan kira-kira 60 peratus oleh kontraktor terbabit, katanya sambil mendakwa penduduk terpaksa terus bersolat di surau di bawah kolong rumah pangsa berhampiran.

Nurjini Jumahat, 24, pula berkata kawasan pembinaan masjid yang terbengkalai kira-kira tujuh bulan lalu dipercayai turut menjadi kawasan tempat sarang pembiakan nyamuk Aedes.

Beliau berkata, seorang penduduk berhampiran kawasan pembinaan itu disahkan menghidap penyakit demam denggi hingga menyebabkan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) baru-baru ini menyembur asap untuk menangani masalah berkenaan.

Selain itu, saya juga kesal apabila kawasan masjid terbengkalai itu bukan saja terbiar dan menjadi tempat pembiakan nyamuk tetapi kini turut menjadi tempat tinggal beberapa ekor anjing liar, katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Masjidtaksiapsarangnyamuk/Article

0 comments: