CUTI JUMAAT

CUTI JUMAAT

11/12/10

Johor kritikal Hakim Syariah, pendedahan Ketua Audit








Sedih sungguh tengok Johor ni. Negeri kelahiran UMNO. Banyak kelemahan didedahkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2009. Kata nak perjuang Sejarah tapi kawasan Makam Laksamana Bentan pun tak terjaga. Nak membela Islam tapi banyak kekosongan jawatan hakim syariah. Yelah negeri Johot, tempat Timbalan Perdana Menteri, kawasan selamat UMNO lah katakan.

(Datuk Seri Najib Tun Razak mahu UMNO serta semua sayap parti mengadakan lebih banyak program berbentuk mendampingi rakyat di kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang dan bukannya di kawasan selamat.- Utusan Malaysia 17 Okt. 2010)

TV1, TV3, Utusan, Berita Harian takkan berani dedah laporan Ketua Audit untuk Johor, Pahang dan Melaka, PENGECUT ! Pembela Melayu konon.

************

Prestasi penyelesaian kes di Mahkamah Tinggi Syariah (MTS) adalah tidak memuaskan kerana peratusan penyelesaian kes di bawah 40%. Keadaan tersebut berlaku kerana kekosongan jawatan hakim dan kakitangan sokongan di Jabatan tidak diisi dengan segera dan berlaku peningkatan bilangan kes yang didaftarkan setiap tahun.

Penguatkuasaan oleh Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Johor dan pejabat tanah daerah berkaitan aktiviti perlombongan dan pengambilan pasir adalah kurang memuaskan kerana telah memberi kesan kepada alam sekitar.

Prestasi kemasukan pelancong ke Negeri Johor menurun pada tahun 2009 berbanding tahun 2008 dan tidak mencapai sasaran. Pelaksanaan program penggalakan pelancongan oleh Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Johor kurang memuaskan.

Prestasi pengurusan kemudahan awam oleh Majlis Perbandaran Muar tidak memuaskan. Kelemahan yang ketara adalah dalam aspek penyenggaraan. Kemudahan awam seperti dewan dan balai raya, taman permainan kanak-kanak, gelanggang permainan dan laluan siar kaki mengalami kerosakan serius dan tidak dibaiki.

Kos Pusat Internet e-Desa ini adalah berjumlah RM1.97 juta. Pelaksanaan Pusat e-Desa gagal mencapai objektifnya di mana 95% Pusat e-Desa telah ditutup.

BAHAGIAN I – AKTIVITI JABATAN/AGENSI

1. Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Johor - Pengurusan Aktiviti Perlombongan Dan Pengambilan Pasir Serta Kesannya Terhadap Alam Sekitar

Permintaan pasir sebagai bahan mentah adalah sangat tinggi terutama dalam sektor pembinaan dan projek infrastruktur. Oleh itu aktiviti perlombongan dan pengambilan pasir menjadi tarikan pelbagai pihak yang mencari peluang untuk mendapat keuntungan besar. Aktiviti tersebut, jika tidak dikawal dengan baik hingga berlakunya perlanggaran undang-undang yang ditetapkan boleh memberi kesan buruk kepada alam sekitar untuk jangka masa panjang. Pada dasarnya aktiviti perlombongan dan pengambilan pasir seperti pasir sungai, pasir darat dan pasir laut (kurang tiga batu nautika dari pantai) adalah di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab Kerajaan Negeri. Hasil kajian ini mendapati penguatkuasaan oleh Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Johor dan pejabat tanah daerah berkaitan aktiviti perlombongan dan pengambilan pasir adalah kurang memuaskan kerana telah memberi kesan kepada alam sekitar. Antaranya impak kepada kualiti air sungai, ancaman kepada kestabilan tanah, perubahan kepada arah aliran air sungai, gangguan terhadap aktiviti nelayan dan kehidupan akuatik serta kerosakan infrastruktur awam. Keadaan tersebut berlaku disebabkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan yang lemah dan kurang berkesan. Tindakan pemantauan berdasarkan aduan awam semata-mata adalah tidak mencukupi manakala pemantauan bersama agensi lain yang berkaitan seperti JAS dan JPS tidak dilakukan.

2. Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor - Pengurusan Program Bantuan Rumah

Program Bantuan Rumah dilaksanakan bagi memastikan nasib golongan miskin dapat dibela supaya mampu memiliki rumah kediaman sendiri. Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPENJ) dipertanggungjawabkan untuk merancang, melaksana, memantau serta menyelaras Program Bantuan Rumah sementara pejabat daerah berperanan sebagai agensi pelaksana dalam memastikan bantuan hanya diberikan kepada mereka yang layak. Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan Program Bantuan Rumah kepada 1,151 penerima iaitu 522 bina baru dan 629 baik pulih rumah melalui peruntukan Pejabat Menteri Besar Johor dan Akaun Amanah Kemiskinan UPENJ bagi tahun 2007 hingga 2009. Pada keseluruhannya, prestasi pelaksanaan Program Bantuan Rumah adalah baik kerana rumah yang dibina dan dibaiki adalah melebihi 97%. Bagaimanapun, bilangan rumah yang dibina atau dibaiki tidak dapat menampung keperluan 124 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar yang masih berada dalam senarai menunggu setakat bulan Februari 2010. Selain itu, kualiti kerja pembinaan dan pembaikan rumah adalah kurang memuaskan kerana mengalami kerosakan selepas diserahkan seperti bumbung rumah bocor, keretakan pada dinding dan limpahan daripada tangki air serta tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

3. Unit Sains Teknologi Dan ICT Negeri Johor - Projek Pusat Internet e-Desa

Projek Pusat Internet e-Desa adalah merupakan projek sosial Kerajaan Negeri Johor. Objektif projek adalah untuk merapatkan jurang digital penduduk luar bandar dengan bandar. Pusat e-Desa berfungsi sebagai pusat teknologi maklumat bagi tujuan latihan, pusat sumber, penyebaran maklumat dan rangkaian khidmat kerajaan secara online. Sehubungan itu, satu perjanjian telah ditandatangani antara Kerajaan Negeri Johor dan sebuah syarikat teknologi maklumat (Syarikat) pada bulan November 2002. Menurut perjanjian, Syarikat ini dikehendaki membangunkan 40 Pusat e-Desa yang dilengkapi kemudahan komputer, Internet, bilik berhawa dingin, kerusi, meja dan sebagainya dengan kos berjumlah RM48,233 bagi sebuah pusat dan sistem aplikasi sokongan berjumlah RM45,000. Kos keseluruhan pembangunan Pusat e-Desa ini adalah berjumlah RM1.97 juta dan dibiayai sepenuhnya daripada balasan projek penswastaan. Pada peringkat awal, perancangan dan pembangunan Pusat e-Desa adalah di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPENJ) tetapi mulai Oktober 2007 diletakkan di bawah pengawasan dan penyenggaraan Unit Sains Teknologi Dan ICT Negeri Johor (USTICT). Hasil kajian ini mendapati pelaksanaan Pusat e-Desa gagal mencapai objektifnya di mana 95% Pusat e-Desa telah ditutup atau tidak beroperasi sehingga akhir tahun 2009. Antara kelemahan yang dikenal
pasti ialah aplikasi yang dibangunkan tidak digunakan sepenuhnya, tiada perancangan penggantian komputer, pemilihan lokasi tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan dan Jawatankuasa Pemantauan tidak ditubuhkan. Maklum balas terkini yang diperoleh pada bulan Mei 2010 menunjukkan MMK telah memutuskan supaya semua Pusat e-Desa di seluruh Negeri Johor ditutup dan USTICT diberi tanggungjawab untuk melupuskan aset Pusat e-Desa mengikut peraturan yang berkaitan. Sehubungan itu, Jabatan Audit mengesyorkan supaya USTICT mengambil tindakan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau dan menyelia proses pelupusan bagi memastikan semua peraturan yang berkaitan dipatuhi serta mengesyorkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri untuk mengambil tindakan surcaj dan tatatertib terhadap pegawai awam yang didapati cuai dalam melaksanakan tanggungjawabnya sehingga menyebabkan berlaku kehilangan peralatan komputer dan berlaku pembaziran.

4. Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor - Pengurusan Pengendalian Kes Syariah

Mahkamah Syariah Negeri Johor telah ditubuhkan di bawah Enakmen Mahkamah Syariah 1993. Pentadbiran Mahkamah Syariah adalah di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor (Jabatan). Mahkamah Syariah terdiri daripada sebuah Mahkamah Rayuan Syariah, dua buah Mahkamah Tinggi Syariah (MTS) dan 10 buah Mahkamah Rendah Syariah (MRS). Objektif Jabatan pula adalah untuk menyegerakan pengendalian kes-kes syariah dengan adil, teratur dan berkesan melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), modal insan yang terlatih, kemudahan dan infrastruktur yang terbaik serta mencukupi. Hasil pengauditan ini menunjukkan prestasi penyelesaian kes di MTS adalah tidak memuaskan kerana peratusan penyelesaian kes di bawah 40%. Keadaan tersebut berlaku kerana kekosongan jawatan hakim dan kakitangan sokongan di Jabatan tidak diisi dengan segera dan berlaku peningkatan bilangan kes yang didaftarkan setiap tahun. Di samping itu, terdapat kelemahan dalam pengurusan pengendalian kes di mana Jabatan gagal mencapai sasaran yang ditetapkan dalam piagam pelanggan, waran tangkap terhadap Orang Kena Tuduh gagal dilaksanakan serta pengurusan rekod dan fail tidak memuaskan. Maklum balas yang diterima daripada orang awam menunjukkan tahap kepuasan pelanggan terhadap kualiti perkhidmatan bagi tempoh masa menunggu adalah tidak memuaskan.

5. Jabatan Perikanan Negeri Johor - Program Pemesatan Pembangunan Akuakultur

Permintaan terhadap makanan berasaskan ikan dijangka terus meningkat seiring dengan peningkatan penggunaan per kapita ikan negara daripada 49 kilogram kepada 56 kilogram menjelang tahun 2010. Oleh yang demikian, Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) telah mengenal pasti akuakultur sebagai satu subsektor perikanan yang boleh menyumbang kepada peningkatan pengeluaran ikan negara. Di peringkat Negeri Johor, Jabatan Perikanan Negeri Johor (Jabatan) telah menyasarkan pengeluaran akuakultur sebanyak 90,300 tan metrik setahun menjelang tahun 2010. Bagaimanapun, pada tahun 2009 kuantiti pengeluaran hanya 43,149.57 tan metrik atau 47.8% daripada jumlah sasaran. Antara punca Jabatan sukar mencapai sasaran pengeluaran ialah kawasan darat akuakultur yang dikenal pasti masih belum dimajukan dan kawasan akuakultur yang berpotensi belum diwartakan sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA). Selain itu, jumlah peruntukan kewangan yang terhad menyebabkan purata bilangan pengusaha akuakultur yang menerima bantuan bagi tahun 2007 hingga 2009 adalah antara 14 hingga 42 orang setahun berbanding dengan jumlah pengusaha yang berdaftar iaitu antara 949 hingga 1,078 orang setahun. Sasaran Jabatan agar pengusaha akuakultur memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan juga tidak tercapai kerana benih ikan yang dibekalkan kurang berkualiti bagi mencapai harga pasaran yang menguntungkan manakala terdapat peningkatan kos pengeluaran disebabkan kenaikan harga makanan ikan.

6. Jabatan Pertanian Negeri Johor - Program Galakan Usaha Tani

Program Galakan Usaha Tani (GUT) oleh Jabatan Pertanian Negeri Johor (Jabatan) telah dimulakan sekitar tahun 1970-an. Objektif Program GUT adalah untuk membantu petani yang mengusahakan pertanian berskala kecil dan kurang berkemampuan agar dapat meneruskan usaha pertanian dengan memberi bantuan bahan input pertanian seperti baja, racun dan peralatan ladang pada kadar separuh harga. Bagaimanapun, pelaksanaan Program GUT didapati kurang memuaskan walaupun telah diperkenalkan lebih 25 tahun yang lalu. Kertas kerja dasar Program ini tidak dikaji semula dan pencapaian Program GUT tidak pernah diukur oleh pihak Jabatan bagi menilai keberkesanannya. Sasaran Program untuk membantu 10,000 orang petani kecil yang ditetapkan dalam Belanjawan Pembangunan Jabatan juga didapati tidak berasaskan peruntukan kewangan yang diterima, sejumlah RM2 juta untuk tiga tahun (2007 hingga 2009). Ini menyebabkan jumlah bantuan yang diterima oleh setiap petani jauh lebih rendah daripada kadar keperluan sebenar. Akibatnya, sasaran pendapatan bersih setiap petani sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan gagal dicapai. Analisis Audit mendapati pemberian bantuan menyumbang pengurangan kos bahan input hanya antara 1% hingga 16% sahaja dan petani masih perlu menanggung kos yang lebih tinggi terhadap pertanian yang diusahakan. Jabatan perlu mengkaji semula objektif dan kaedah pelaksanaan jika Program GUT ini ingin diteruskan supaya lebih berkesan dengan mengambil kira peruntukan kewangan yang diluluskan berbanding keperluan sebenar bantuan yang patut diberi.

7. Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Johor - Program Penggalakan Pelancongan
Negeri Johor

Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Johor (MTPNJ) merupakan unit di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang bertanggungjawab merancang, melaksanakan dan memantau program penggalakan pelancongan bagi Negeri Johor.
MTPNJ telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan jumlah kedatangan pelancong antarabangsa dan domestik ke Negeri Johor sehingga 10 juta orang setahun bagi tempoh 2008 hingga 2012. Bagi mencapai sasaran ini, MTPNJ telah mengenal pasti inventori produk pelancongan yang ada di Negeri Johor dan dikategorikan kepada sembilan teras pelancongan mulai tahun 2009 antaranya Ekopelancongan, Agropelancongan dan Homestay, Pantai dan Pulau, Sukan serta Sejarah dan Kebudayaan. Secara keseluruhannya, pelaksanaan program penggalakan pelancongan oleh MTPNJ kurang memuaskan kerana program promosi produk dan tempat pelancongan yang berpotensi menjadi destinasi pelancongan menarik kurang dilaksanakan serta kurang menyelaraskan aktiviti pelancongan yang dikendalikan oleh pelbagai pihak sama ada badan kerajaan ataupun swasta. Selain itu, prestasi kemasukan pelancong ke Negeri Johor menurun pada tahun 2009 berbanding tahun 2008 dan tidak mencapai sasaran.

8. Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim - Pengurusan Program Penghayatan Modul Keluarga SAKINAH

Modul Keluarga SAKINAH (MKS) telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Johor pada 6 November 1998. Matlamat program ini adalah untuk memberi kefahaman tentang perkara-perkara yang berhubung dengan pra keibubapaan, menjelaskan tentang teknik pembentukan akhlak anak-anak daripada perspektif Islam dan menyediakan panduan dan bimbingan kekeluargaan kepada masyarakat Islam khasnya dan masyarakat umum amnya. Sebanyak 10 modul telah dikenal pasti meliputi semua lapisan masyarakat daripada peringkat bayi (Modul 4) sehingga warga emas (Modul 9). Mulai tahun 2002, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (Yayasan) telah mengambil alih tanggungjawab daripada Jabatan Agama Johor dengan melaksanakan Modul 2 hingga Modul 10 manakala bagi Modul 1 (Pra Perkahwinan) masih lagi dilaksanakan oleh Jabatan Agama Johor. Bagi tahun 2007 hingga 2009, Yayasan telah memperuntukkan sejumlah RM3.76 juta dan sejumlah RM2.93 juta telah dibelanjakan oleh Unit Kekeluargaan Yayasan untuk melaksanakan aktiviti MKS. Daripada jumlah tersebut sejumlah RM2.56 juta atau
87.4% telah dibelanjakan bagi pembayaran elaun Pegawai Penggerak dan Penyelaras. Pengauditan mendapati pelaksanaan Program Penghayatan MKS kurang berkesan dan mempunyai kelemahan tertentu seperti sasaran ceramah bersiri yang ditetapkan tidak tercapai, kehadiran peserta menurun, pelaksanaan program tidak mempunyai sasaran tertentu dan kajian penambahbaikan program tidak dilakukan. Antara punca kelemahan tersebut adalah disebabkan pegawai penggerak melaksanakan modul, program dan aktiviti sama secara berulang di kampung sama dan bilangan kampung yang diwakili oleh seorang Pegawai Penggerak terlalu banyak dengan tempoh masa pusingan sehingga melebihi 10 tahun. Yayasan juga tidak mempunyai Pegawai Tadbir Daerah dan Penyelaras yang mencukupi untuk memantau setiap program di setiap daerah bagi memastikan program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi impak yang berkesan kepada setiap peserta yang mengikuti program tersebut.

9. Majlis Perbandaran Muar – Pengurusan Kemudahan Awam

Majlis Perbandaran Muar (Majlis) bertanggungjawab untuk menyediakan kemudahan awam kepada penduduk dalam kawasan operasinya. Secara umumnya, kemudahan awam di bawah pentadbiran Majlis terbahagi kepada tiga kategori iaitu kemudahan pengurusan kejiranan, kemudahan rekreasi dan riadah serta kemudahan prasarana. Bagi tahun 2007 hingga 2009, Majlis telah membelanjakan sejumlah RM1.57 juta atau 52.9% daripada peruntukan yang diluluskan berjumlah RM2.97 juta bagi tujuan pembangunan dan penyenggaraan kemudahan awam. Pada keseluruhannya, prestasi pengurusan kemudahan awam oleh Majlis tidak memuaskan. Kelemahan yang ketara adalah dalam aspek penyenggaraan. Kemudahan awam seperti dewan dan balai raya, taman permainan kanak-kanak, gelanggang permainan dan laluan siar kaki mengalami kerosakan serius dan tidak dibaiki. Aspek perancangan dan pelaksanaan penyediaan kemudahan awam juga tidak diberikan perhatian di mana tapak kemudahan awam di beberapa pusat kejiranan didapati tidak mencukupi dan terdapat projek pembinaan yang dirancang tidak dilaksanakan. Selain itu, terdapat kemudahan awam disediakan tidak dimanfaatkan dan beberapa lot tanah Majlis seperti tapak permainan dan tanah lapang telah diceroboh kerana kurang pemantauan.

BAHAGIAN II – PENGURUSAN SYARIKAT KERAJAAN NEGERI

10. Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd.

Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) merupakan sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Johor telah ditubuhkan pada November 1995. Sehingga Disember 2009, modal saham dibenarkan KPRJ ialah RM20 juta dan modal saham berbayar berjumlah RM1 juta dipegang sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Johor. Kegiatan utama KPRJ pada asalnya adalah untuk melaksanakan pembangunan prasarana di Negeri Johor. Pada masa kini, KPRJ memberi tumpuan kepada aktiviti projek usaha sama, penjualan tanah dan pelaburan. Mengikut penyata kewangan beraudit bagi tahun 2006 hingga 2008, KPRJ memperoleh keuntungan bersih RM104.25 juta pada tahun 2006 berbanding keuntungan RM549.87 juta pada tahun 2007 dan RM107 juta pada tahun 2008. Bagaimanapun, pelaksanaan beberapa aktiviti syarikat seperti penjualan dan pembangunan tanah bagi projek usaha sama didapati kurang memuaskan. Terdapat tanah yang dijual tanpa dibuat penilaian harga dan harga jualan jauh lebih rendah daripada harga nilaian. Syarikat subsidiari yang ditubuhkan tidak aktif dan tidak menjana keuntungan serta tiada pembayaran dividen kepada KPRJ sebagai syarikat induk. Begitu juga KPRJ tidak membayar dividen kepada Kerajaan Negeri Johor sejak ditubuhkan kecuali bagi tahun 2009. Selain itu, pelaburan dalam syarikat bersekutu tidak memuaskan disebabkan kedudukan kewangan syarikat bersekutu yang tidak stabil kerana mengalami kerugian dan tidak memberi pulangan dividen kepada KPRJ. Di samping itu terdapat kelemahan dalam tadbir urus korporat, perancangan strategik, tidak mengguna pakai pekeliling berkaitan syarikat kerajaan dan penyata tahunan lewat dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Aspek pengurusan kewangan KPRJ juga berada di tahap kurang memuaskan terutamanya dari segi penyediaan dan kawalan bajet, prosedur kerja yang kurang kemas, kawalan perbelanjaan, pengurusan aset dan pinjaman.

11. PIJ Holdings Sdn. Bhd.

PIJ Holdings Sdn. Bhd. telah diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 (Akta 125) pada 13 Februari 1979 oleh Perbadanan Islam Johor (PIJ). PIJ Holdings Sdn. Bhd. (PIJH) merupakan anak syarikat milik penuh PIJ dengan modal dibenarkan berjumlah RM100 juta dan modal berbayar berjumlah RM73 juta. Objektif utama PIJH adalah untuk menjana sumber ekonomi PIJ secara fokus dalam aktiviti perniagaan serta pelaburan bagi menghasilkan keuntungan yang perlu disalurkan semula kepada PIJ untuk melaksanakan tanggungjawab sosial dan kemajuan masyarakat Islam. Prestasi kewangan PIJH adalah memuaskan. PIJH memperoleh keuntungan sebelum cukai berjumlah RM3.56 juta pada tahun 2008 meningkat sebanyak 109.4% berbanding keuntungan sebelum cukai tahun 2007 berjumlah RM1.7 juta. Keuntungan sebelum cukai pada tahun 2009 berjumlah RM2.25 juta menurun sebanyak 36.8% berbanding keuntungan sebelum cukai tahun 2008. Bagaimanapun, PIJH tidak pernah membuat bayaran dividen kepada PIJ sebaliknya telah membayar yuran pengurusan. Secara keseluruhannya, pengurusan syarikat boleh dipertingkatkan. Beberapa kelemahan syarikat dalam pengurusan aktiviti dan tadbir urus korporat perlu diperkemas selain memulihkan prestasi kewangan syarikat subsidiari.

12. YPJ Holdings Sdn. Bhd.

YPJ Holdings Sdn. Bhd. (YPJH) telah diperbadankan pada November 1993 dan merupakan sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ). Sehingga Disember 2009, modal dibenarkan YPJH adalah berjumlah RM50 juta dan modal berbayar berjumlah RM25 juta. Selain itu, YPJ telah memindahkan hutang jangka panjangnya kepada YPJH berjumlah RM171.09 juta. Hutang jangka panjang ini dijadikan tanda aras penyaluran dana kepada YPJ bagi membiayai Tabung Biasiswa YPJ, pembangunan Kolej Komuniti dan Kolej-kolej KPYPJ, Projek Hikmah dan membantu usaha pembangunan Kerajaan Negeri Johor. Antara aktiviti komersial yang dijalankan oleh YPJH ialah perladangan, pembangunan hartanah, pelancongan dan pelaburan saham. YPJH memperoleh keuntungan sebelum cukai berjumlah RM76.76 juta pada tahun 2009 meningkat dengan sangat ketara berbanding tahun 2007 dan 2008 di mana YPJH mengalami kerugian berjumlah RM0.73 juta dan RM1.28 juta. Walau pun mengalami kerugian pada tahun 2007 dan 2008, YPJH berjaya menyalurkan dana kepada YPJ mengikut peraturan yang ditetapkan. YPJH boleh mempertingkatkan prestasi kewangan jika menguruskan sendiri pelaburannya dalam syarikat subsidiari, mengenakan yuran pengurusan dan menerima dividen. Sehubungan itu, pengurusan YPJH adalah disyorkan menyediakan perancangan strategik bagi memudahkan syarikat membentuk objektif dan matlamat yang lebih realistik serta melaksanakan perubahan kepada syarikat mengikut kesesuaian.

No comments: