Nampaknya Menteri Besar Negeri Sembilan telah mengambil langkah yang pro aktif diatas laporan Ketua Audit Negara 2009. Sedangkan Ketua Menteri Melaka masih belum lagi memberi kenyataan mengenai Laporan Ketua Audit Negara. Antaranya isu Tanah dan Bangunan Majlis Agama Islam Melaka TERJUAL ke BC Lim Enterprise. Masalah perlombongan pasir yang menyebabkan hakisan dan pencemaran. Masalah tapak pelupusan sampah di kawasan Melayu.
Kita masih lagi menanti maklum balas Menteri Besar Negeri Sembilan perkara lain yang dilaporkan dalam Audit antaranya enyenggaraan jambatan dan jalan negeri adalah kurang memuaskan. Pengurusan pengambilan pasir di Negeri Sembilan adalah kurang memuaskan kerana berlaku pencemaran. Laporan penuh di http://mohdtaufek.blogspot.com/2010/10/laporan-audit-2009-nsembilan-dedah.html
Artikel Tanah dan Bangunan Majlis Agama Islam Melaka TERJUAL ke BC Lim Enterprise pada pautan berikut http://amkns.blogspot.com/2010/10/bangunan-majlis-agama-islam-melaka.html
MB ulas laporan Ketua Audit Negara
Utusan Malaysia 11 Nov 2010
SEREMBAN 10 Nov. - Kerajaan negeri hari ini menjelaskan usaha telah dilakukan untuk membuka segera kawasan pelupusan sampah yang baru dekat Sendayan seluas 40.5 hektar bagi menampung lambakan maksimum di dua kawasan sedia ada.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pengambilalihan tanah itu melibatkan kawasan estet berhampiran juga di peringkat akhir perbincangan dan ia dibuka segera berikutan kedudukannya berhampiran Kualiti Alam Sdn. Bhd. (Waste Management Center), Bukit Pelanduk, Port Dickson.
"Kerajaan negeri membuat keputusan mengambil alih tanah 40.5 hektar, di mana menggantikan pusat pelupusan sampah di Mantin dan Bukit Palong, Port Dickson yang sudah sampai ke tahap maksimum," katanya selepas mempengerusi mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Beliau yang mengulas Laporan Ketua Audit Negara tahun 2009 juga memberitahu, memang menjadi agenda utama kerajaan negeri menyelesaikan kawasan pelupusan sampah ini dengan segera.
"Kita ajukan permohonan melalui Mesyuarat Perumahan Negara supaya diberikan peruntukan untuk mendirikan Pusat Pelupusan Sampah Secara Berteknologi Tinggi sama ada menggunakan insinerator, mahupun teknologi lain.
"Sudah sampai masanya, pelupusan cara tradisional tidak lagi digunakan dan berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air segera membuat keputusan bentuk teknologi yang hendak digunakan dalam kaedah pelupusan sampah ini," katanya.
Katanya, jika apa juga teknologi yang hendak dipakai itu diputuskan Kerajaan Pusat, kerajaan negeri sedia menerimanya dan ia dibangunkan di kawasan seluas 40.5 hektar itu.
"Memang berlaku pembakaran sampah ini, tetapi apa yang kita hendak lihat adalah apa yang berlaku selepas itu sama ada bahan berkenaan dikitar seperti batu bata, baja mahupun tenaga," katanya.
Sementara itu, Mohamad juga mengulas Laporan Ketua Audit Negara berhubung ketidakupayaan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) menguruskan bayaran balik pinjaman di kalangan pelajar.
"Saya ingin menegaskan tidak berlaku pengurusan yang tidak baik dalam YNS terutama dalam aspek dapatkan balik pinjaman kepada pemohon sebelum ini.
"Kita melantik 10 panel peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap peminjam yang liat ini. Saya minta ibu bapa mahupun pelajar yang sudah tamat belajar dan bekerja, bayarlah balik pinjaman ini.
"YNS melakukan pelbagai cara untuk memburu peminjam ini, apatah lagi wang tersebut penting kerana ia merupakan dana pusingan yang membantu mereka memerlukannya," katanya.
Mengenai Air Tidak Berhasil (Non Revenue Water) sebagaimana yang dilaporkan Ketua Audit Negara terhadap Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Mohamad berkata, kerajaan negeri meletakkan sasaran pengurangan sebanyak 35 peratus menjelang 2015.
"Paip air banyak yang pecah dan lama kerana berusia lebih 40 tahun. Selain itu, berlaku kecurian air dan bacaan meter tidak tepat. Ini antara berlakunya NRW," katanya.
Kata Mohamad, program penggantian paip dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) adalah RM56 juta, sedangkan keperluan keseluruhan bagi tujuan berkenaan adalah melebihi RM800 juta.
"Selain itu, penggunaan meter lama turut menyumbang kepada NRW dan kerajaan menggantikan 25,000 unit meter baru. Kerajaan meluluskan tender terbuka bagi menggantikan 55,000 lagi meter air berkenaan. Terdapat 500,000 meter lama yang perlu diganti segera.
"Meter lama menunjukkan bacaan kurang tepat dan sebab itulah perolehan komersial tidak dapat dibuat. Tidak berlaku kenaikan tarif air, sebaliknya meter baru yang digunakan itu menunjukkan bacaan tepat, selepas sekian lama meter lama berfungsi secara tidak betul,'' katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_04.htm
0 comments:
Post a Comment