KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

11/4/10

Pengambilan Pasir di Melaka boleh bawa BENCANA BESAR


Laporan Ketua Audit Negara 2009 untuk Melaka mendedahkan bahawa kerja-kerja pengambilan pasir di Pulau Sebang berhampiran struktur hidraulik landasan jambatan keretapi telah mengakibatkan kesan hakisan yang serius. ADAKAH NAK TUNGGU KERETAPI JATUH SUNGAI , RAMAI MATI BARU SEMUA NAK BUKA MATA ?

Mereka yang naik keretapi yang lalu Tampin sila baca laporan Ketua Audit Negara betapa seriusnya hakisan akibat kerja perlombongan pasir di Melaka ini.

Jangan jadi Bangau Oh Bangau jika berlaku KEMALANGAN BESAR KERERAPI JATUH SUNGAI DI TAMPIN !

- Pada pendapat Audit, Syarikat ini tidak mematuhi syarat JPS supaya menyediakan kajian hidraulik dan hidrologi. KERJA-KERJA PENGAMBILAN PASIR BERHAMPIRAN STRUKTUR HIDRAULIK LANDASAN JAMBATAN KERETAPI TELAH MENGAKIBATKAN KESAN HAKISAN YANG SERIUS.

- Pada pendapat Audit, berdasarkan ujian kualiti air yang telah dijalankan oleh JAS didapati kerja mengorek pasir telah menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai.

- Pada pendapat Audit, Syarikat tidak mematuhi nisbah kecerunan tebing sungai dan ini memberi kesan kepada kestabilan tebing dan rejim sungai.

- Pada pendapat Audit, kerja-kerja melebarkan sungai adalah melebihi keluasan yang dibenarkan oleh JPS. Pelebaran sungai ini telah menyebabkan kawasan rizab tebing sungai yang dikhususkan untuk penyenggaraan sungai menjadi lebih sempit.

- Pada pendapat Audit pengurusan kolam takungan oleh Syarikat ini tidak mematuhi ciri ditetapkan oleh JPS dan JAS.

Pengurusan Aktiviti Perlombongan Dan Pengambilan Pasir Dan Kesannya Terhadap Alam Sekitar

Projek mendalam dan melebar Sungai Batang Tampin, Mukim Pulau Sebang, Daerah Alor Gajah adalah merupakan projek yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penswastaan Negeri Melaka pada bulan April 2008. Projek bernilai RM12.75 juta ini telah diberikan kepada sebuah Syarikat untuk dilaksanakan dalam tempoh dua tahun meliputi kawasan sungai sepanjang 13.35 kilometer dari Pengkalan ke Pulau Sebang. Sebagai balasan Syarikat dibenarkan mengambil pasir yang dikeluarkan selain perlu membina tebing, landskap dan penanda aras sungai.

Secara keseluruhannya pengurusan projek ini adalah tidak memuaskan kerana mengakibatkan gangguan kestabilan tebing dan rejim sungai serta menjejaskan kualiti air sungai.

Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah kelewatan penyediaan dokumen perjanjian, ketidakpatuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekitar mengenai syarat pengeluaran pasir oleh Syarikat dan kegagalan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mengambil tindakan terhadap Syarikat kerana tidak mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Syarikat dibiarkan beroperasi selama lapan bulan tanpa perjanjian.

Jabatan yang mewakili Kerajaan tidak dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian manakala spesifikasi projek tidak disediakan oleh Syarikat yang telah menjejaskan kelancaran projek.

Syarat JPS mengenai penyediaan Kajian Hidraulik dan Hidrologi sebelum pasir sungai dikeluarkan juga tidak dipatuhi oleh Syarikat. Pelebaran sungai dan kecerunan tebing sungai telah melebihi keluasan yang ditetapkan oleh JPS.

Pengauditan yang dijalankan pada bulan September hingga Disember 2009 mendapati pada keseluruhan pelaksanaan Projek Mendalam Dan Melebarkan Kawasan Sungai Batang Tampin, Mukim Pulau Sebang, Alor Gajah adalah tidak memuaskan kerana mengakibatkan gangguan kestabilan tebing dan rejim sungai serta menjejaskan kualiti air sungai.

Syarikat Raflesia (M) Sdn. Bhd. sepatutnya menyiapkan projek sepanjang 13.35 kilometer dalam tempoh dua tahun berakhir Ogos 2010 dengan kos RM12.75 juta ditanggung oleh Syarikat ini. Bagaimanapun sehingga Mac 2010, Syarikat ini hanya menyiapkan kerja pembinaan tebing sejauh dua kilometer sahaja. Syarikat ini juga didapati masih belum memulakan kerja landskap dan penanda aras sungai seperti perjanjian.

Penemuan Audit berkaitan kesan projek terhadap alam sekitar adalah seperti berikut:

a) Impak Kepada Kualiti Air Sungai
Berdasarkan keputusan ujian kualiti air oleh JAS, didapati bacaan bagi pelepasan pepejal terampai adalah tinggi di bahagian hilir sungai (Kunci Air Padang Sebang). Pelepasan berlebihan akan menyebabkan sungai menjadi keruh dan tercemar. Pada pendapat Audit, berdasarkan ujian kualiti air yang telah dijalankan oleh JAS didapati kerja mengorek pasir telah menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai.

b) Impak Kepada Rejim Sungai
Pada pendapat Audit, Syarikat tidak mematuhi nisbah kecerunan tebing sungai dan ini memberi kesan kepada kestabilan tebing dan rejim sungai.

c) Aktiviti Pengambilan Pasir Memberi Kesan Kepada Tebing Sungai
Garis panduan JPS menetapkan bahawa pasir tidak boleh diambil dalam lingkungan 100 meter dari sebarang struktur hidraulik. Pasir juga tidak boleh diambil di mana hakisan terjadi atau dijangka berlaku umpamanya di liku tebing yang cekung (concave bank). Semakan Audit mendapati Syarikat ini tidak menyediakan dan menyerahkan kajian hidraulik dan hidrologi tersebut kepada JPS. Akibatnya kawasan pengambilan pasir tidak dapat ditentukan dengan tepat bagi mengelakkan kerosakan kepada struktur hidraulik berdekatan.

Semakan lanjut ke atas laporan pemantauan JPS mendapati Syarikat ini telah melaksanakan kerja pengambilan pasir di kawasan tebing sungai yang cekung dan dalam jarak 150 meter daripada struktur hidraulik iaitu landasan jambatan keretapi milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). JPS telah melaporkan kesan hakisan yang teruk walaupun kerja pengambilan pasir dilakukan di luar dari lingkungan 100 meter dari jambatan kerana Syarikat ini tidak menjalankan kajian hidraulik dan hidrologi. Kesan kerosakan tebing yang dilaporkan oleh KTMB dan JPS.
Pada pendapat Audit, Syarikat ini tidak mematuhi syarat JPS supaya menyediakan kajian hidraulik dan hidrologi. Kerja-kerja pengambilan pasir berhampiran struktur hidraulik landasan jambatan keretapi telah mengakibatkan kesan hakisan yang serius.

d) Pelebaran Sungai Melebihi Kelebaran Dibenarkan JPS
Surat JPS pada 5 Februari 2009 memaklumkan bahawa kelebaran sungai yang dibenarkan ialah 20 meter sahaja dan bakinya 10 meter rizab kiri dan kanan tebingsungai untuk kerja penyenggaraan. Lawatan Audit pada 5 November 2009 mendapati sungai telah dilebarkan melebihi ukuran yang dicadangkan. Pada pendapat Audit, kerja-kerja melebarkan sungai adalah melebihi keluasan yang dibenarkan oleh JPS. Pelebaran sungai ini telah menyebabkan kawasan rizab tebing sungai yang dikhususkan untuk penyenggaraan sungai menjadi lebih sempit.

e) Kolam Takungan Tidak Diselenggarakan
Garis panduan mengeluarkan pasir oleh JPS mengehendaki Pengusaha menyediakan tiga kolam mendapan bagi memastikan air cucian pasir yang keluar ke sungai dikawal dengan baik. JAS melalui suratnya bertarikh 29 Jun 2009 menyatakan Syarikat perlu memastikan kolam perangkap mendapan adalah mencukupi sebagai langkah kawalan bagi memastikan air sungai tidak tercemar. Pada pendapat Audit pengurusan kolam takungan oleh Syarikat ini tidak mematuhi ciri ditetapkan oleh JPS dan JAS.

3.5 RUMUSAN DAN SYOR AUDIT
Pada keseluruhannya pengurusan Projek Mendalam Dan Melebarkan Kawasan Sungai Batang Tampin, Mukim Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka dilaksanakan dengan tidak memuaskan. Projek ini juga didapati memberi impak negatif kepada alam sekitar. Bagi memperbaiki kelemahan yang dibangkitkan dalam laporan ini dan juga memastikan perkara yang sama tidak berulang dalam pelaksanaan projek yang lain, adalah disyorkan supaya UPEN memberi pertimbangan terhadap perkara berikut:

a) Memastikan syarat pengeluaran pasir sungai oleh JPS dan syarat pengawalan kualiti air sungai oleh JAS dipatuhi sepenuhnya oleh Syarikat.
b) Kesan jangka panjang projek perlu diberi perhatian oleh pihak UPEN dan Jabatan Teknikal supaya projek tidak memberi impak negatif kepada alam sekitar.
c) Memastikan ketepatan kandungan perjanjian dan dokumen sokongan hendaklah disediakan dan diluluskan sebelum perjanjian ditandatangani bagi menjamin kepentingan Kerajaan Negeri.
d) Memastikan pemantauan projek dijalankan mengikut ketetapan dokumen perjanjian.
e) Tindakan sewajarnya perlu diambil segera sekiranya Syarikat gagal mematuhi perjanjian.

No comments: