Sinar Harian 10 Nov 2010
SUNGAI TUANG, Melaka - Hentaman ombak kuat menyebabkan tebing pejalan kaki sepanjang kira-kira 1,500 meter di pantai peranginan, dekat sini runtuh sehingga membahayakan orang ramai.
Runtuhan stuktur konkrit berlaku sejak empat hari lalu turut mendatangkan kebimbangan pengunjung yang datang untuk berehat bersama keluarga.
Pengunjung, Yasmin Syafiqah Razali, 18, berkata, dia kerap ke pantai peranginan berkenaan bersama rakan-rakan dan keluarga untuk bersantai di hujung minggu.
“Runtuhan ini merbahaya terutama kanak-kanak yang kebiasaannya teruja dan leka bermain. Kita bimbang mereka terjatuh kerana di situ yang boleh mendatangkan kecederaan,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini, dia menyedari tebing pejalan kaki itu sedikit berlubang, bagaimanapun kali ini semakin teruk.
“Saya nampak kali ini hentaman ombak menyebabkan runtuhan semakin teruk. Kalau ada yang tak sedar atau terpijak di tempat yang sudah lompong di bahagian bawahnya, bahaya juga,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Razali Jamil, 45, berkata dia pernah menyelamatkan seorang kanak-kanak apabila kakinya tersangkut pada lubang runtuhan tebing berkenaan.
“Buat sementara waktu ini, saya berharap pihak berkenaan dapat menyediakan tanda amaran di kawasan runtuh teruk supaya dapat memberi peringatan kepada pengunjung supaya lebih berhati-hati,” katanya.
Justeru, katanya, dia berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera membaik pulih struktur tebing tempat pejalan kaki berkenaan sebelum sebarang musibah berlaku.
“Kita faham dengan faktor cuaca akhir-akhir ini tidak menentu dan berlaku air pasang sehingga ombak kuat, tapi aspek keselamatan perlu dipantau,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8388528.asp
0 comments:
Post a Comment