11/8/10

Terengganu makin parah dengan dadah, menuju kehancuran

Masalah dadah semakin parah di Terengganu. Ini diakui dalam laporan Utusan Malaysia pada 8 Nov 2010. Sebelum ini Terengganu merekodkan jumlah penagih dadah yang tinggi iaitu meningkat kepada 1,366.67 peratus. Mungkin yang paling teruk di Malaysia dan seluruh dunia. Apakan daya, rakyat dilekakan dengan hiburan.

Orang politik sibuk berebut jawatan dan harta. Nasib Terengganu adalah di tangan rakyat Terengganu sendiri. Jadikanlah Terengganu benar-benar negeri Darul Iman.

Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (rakyat) kalau kaum (rakyat) itu tidak mahu berubah.

Artikel penagih dadah naik 1,366.67 peratus pada pautan berikut http://amkns.blogspot.com/2010/09/penagih-dadah-terengganu-naik-1366.html

KES DADAH SERIUS DI TERENGGANU
Utusan Malaysia 8 November 2010

SETIU 7 Nov. - Kes pengedaran dan penagihan dadah di negeri ini kian serius dan memperlihatkan gejala amat membimbangkan ketika pihak polis terus memperhebatkan operasi mereka.

Secara keseluruhannya, ia meningkat sebanyak 14 peratus dengan 7,837 kes melibatkan 8,187 tangkapan sehingga September lalu berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 202 kes pengedaran dikesan melibatkan 277 tangkapan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini yang mencatatkan peningkatan sebanyak 22 peratus.

Dalam tempoh yang sama juga, beliau memberitahu, penagihan dadah meningkat sebanyak 14 peratus membabitkan 7,635 kes dengan 7,910 tangkapan.

"Manakala tangkapan dan tindakan ke atas pengedar di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 meningkat sebanyak 44 peratus kepada 75 kes berbanding 52 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Masalah penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi juga terus meningkat dan mencetuskan kebimbangan, daripada 87 orang kepada 126 orang.

"Malah tiga daripada mereka yang ditahan sehingga September lalu itu terbabit dengan pengedaran dadah," katanya kepada pemberita di Lapang Sasar Bukit Bidong di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengetuai operasi pelupusan dadah bernilai RM1.5 juta termasuk heroin, ganja, pil-pil WY (pil kuda, syabu), ubat batuk, daun dan air ketum.

Operasi itu turut dihadiri oleh pengarah atau wakil Jabatan Pelajaran, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Dadah yang dilupuskan melibatkan 795 kes dari seluruh daerah di negeri ini yang telah selesai perbicaraan dari tahun 2004 hingga tahun ini.

Pesalah yang terbabit telah dijatuhkan hukuman mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Beliau menarik perhatian, pihaknya telah menumpaskan sebanyak 15 sindiket yang bergerak aktif di seluruh negeri ini manakala harta disita mencecah RM1.7 juta, berbanding RM1.1 juta tahun lalu.

Mohd. Shukri turut mengucapkan syabas kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik yang mengerakkan operasi dengan gigih dalam usaha membasmi gejala ini.

"Berikutan begitu banyak kes dan tangkapan, pusat-pusat tahanan dan pemulihan bagi menampung mereka yang terbabit dengan dadah ini telah penuh dan terpaksa dihantar ke Pahang.

"Biarpun sindiket-sindiket telah berjaya ditumpas dan tangkapan terus ditingkatkan setiap tahun namun gejala dadah terus menjadi ancaman dengan kemasukan berterusan dari dalam dan luar negara," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerjasama masyarakat terus dipertingkatkan dan pihaknya berperanan lebih dekat dengan mereka melalui penempatan pegawai perhubungan di semua sekolah.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm

0 comments: