Sinar Harian 7 Mac 2010
SEREMBAN – Lebih 30 keluarga di Taman Labu Utama, di sini mendakwa bengang akibat masalah tekanan air rendah yang sering berlaku di kawasan perumahan itu sejak kebelakangan ini.
Mereka mendakwa, masalah itu menyebabkan kerja seharian mereka terganggu, lebih-lebih ketika sambutan Tahun Baru Cina lalu apabila sebahagian besar daripada mereka adalah berbangsa Tionghoa.
Sehubungan itu, beberapa penduduk di taman itu berkumpul menunjukkan kecewa dan meminta Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) menyelesaikan masalah mereka dengan segera, semalam.
Penduduk, Peter Lee, 50-an, berkata, masalah tekanan air rendah itu paling teruk berlaku ketika ini sepanjang dia tinggal di situ sejak 27 tahun lalu.
Malah menurutnya, sehari sebelum perayaan Tahun Baru Cina lalu, bekalan air langsung terputus.
“Kita berasa kecewa kerana setiap kali menjelang perayaan Tahun Baru Cina, pasti bekalan air tidak ada sehingga ia memberi kesan kepada penghuni rumah yang akan menyambutnya.
“Apa yang lebih teruk, kita terpaksa menunggu sehingga lewat tengah malam untuk mendapatkan bekalan air untuk disimpan bagi kegunaan keesokannya,” katanya.
Parameswaran, 70, berkata, penduduk di situ sudah tidak boleh bertahan dengan keadaan semakin kritikal setiap hari.
Menurutnya, sebahagian besar penghuni terpaksa menunggu sehingga jam 2 hingga 3 pagi bagi mendapatkan tekanan air lebih tinggi untuk menjalankan aktiviti harian.
“Apabila tekanan air sangat rendah, banyak kerja tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Malah untuk membasuh baju sahaja, mengambil masa lebih satu jam. Ini memberikan masalah kepada kita, kerana terpaksa menunggu lama dan menangguhkan kerja-kerja lain di luar,” katanya.
Pendapatnya itu turut disokong K Darshanashah, 35, yang berkata, keadaan menjadi lebih teruk apabila bilik air di tingkat atas rumahnya tidak dapat digunakan lebih sebulan lalu.
Menurutnya, ia disebabkan tekanan air terlalu rendah dan air di paip atas tidak dapat menerima bekalan disalurkan.
Sementara itu, masalah yang ditanggung penduduk di situ mendapat perhatian wakil rakyat kawasan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Lobak, Loke Siew Fook.
Siew Fook berkata, beliau dimaklumkan mengenai masalah penduduk itu sebelum Tahun Baru Cina yang lalu, tetapi tidak menjangka masalah tersebut akan berpanjangan sehingga kini.
“Kita faham kalau musim perayaan berlakunya masalah tekanan air rendah kerana penggunaan meningkat, tetapi mengapa sehingga kini keadaan tetap sama?
“Saya akan menghantar surat kepada Sains dan meminta mereka mengadakan satu sesi dialog bersama penduduk di sini, bagi menerangkan keadaan sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Sains, Azlan Abdul Aziz, ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meneliti masalah penduduk di situ dan menyiasat perkara tersebut segera sebelum sebarang tindakan diambil.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6903136.asp