
10 Mac 2011 - Air sungai yang berbau busuk dan berwarna hitam pekat nyata menjejaskan serta mencemarkan kawasan sekitar, di Port Dickson. Fenomena itu dapat dilihat dengan jelas di Pantai Avillion Admiral Cove Batu 6, Port Dickson. Seorang peserta Malaysia My Second Home, Paul, 53, yang menetap di sebuah apartmen paling hampir dengan sungai terbabit, melahirkan rasa kecewa berhubung masalah pencemaran yang sudah lama berlarutan.
Menurutnya, dia tertanya-tanya bagaimana pihak berkenaan boleh terlepas pandang berhubung perkara itu sehingga sungai berkenaan dilanda pencemaran teruk.
"Air dari sungai ini hitam dan ia berlarutan sekian lama, malah semakin teruk sejak beberapa bulan lalu.
"Airnya turut berbau busuk dan mengalir ke laut mencemarkan kawasan pantai," katanya.
Menurutnya, bau busuk dari sungai yang tercemar itu turut mengganggu kehidupannya.
"Saya berasa tidak selesa di sini. Sepatutnya keadaan ini tidak berlaku kerana Port Dickson adalah kawasan pelancongan yang menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan luar," katanya.
Paul yang mula menetap di Port Dickson di bawah program Malaysia My Second Home sejak Februari 2003 menggesa agar tindakan segera dapat dilaksanakan bagi memulihara semula sungai dan mengelakkan pantai serta laut tercemar.
Sementara itu, pengurus sebuah apartmen di sini, Phang Han Kim berkata, sejak pencemaran sungai berlaku, ramai pelancong asing membatalkan hasrat mereka untuk membeli, seterusnya menetap di apartmennya berikutan terganggu serta tidak selesa.
"Dua tahun lalu, ada seorang lelaki Jerman yang sudah menyewa di sini selama enam bulan, malah telah membayar deposit, membatalkan hasrat membeli apartmen di sini.
"Hobinya bersama isteri adalah berenang di pantai dan dia tidak selesa selepas mendapati pantai tercemar," katanya.
Han Kim berkata, ada juga beberapa penghuni apartmennya yang sudah tidak lagi menginap di situ disebabkan tidak selesa dengan pencemaran yang berlaku.
"Kebanyakan pembeli tertarik untuk menetap di sini kerana suasana nyaman dan pantainya yang bersih serta keselamatan terkawal.
"Namun, disebabkan pencemaran sungai semakin teruk, ia mendatangkan pelbagai masalah dan hilang daya tarikan semula jadi di sini," katanya.
Han Kim berkata, pihaknya sudah melaporkan masalah itu kepada pelbagai pihak bertanggungjawab namun sehingga kini tiada tindakan proaktif diambil.
“Kali terakhir pihak berkuasa atau jabatan berkaitan turun meninjau kawasan adalah awal tahun lalu dan sehingga kini tiada maklum balas diterima.
“Akibatnya, masalah pencemaran bukan sahaja memberi kesan kepada kehidupan malah menjejaskan sektor pelancongan di Daerah Port Dickson,” katanya.
Di beberapa sistem perparitan dan longkang di kawasan sekitar juga mendapati ia tidak diselenggarakan dengan baik, selain sampah mengalir terus ke sungai berkenaan.
http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story8850753.asp
1 comments:
saia yg dok pd ni pon segan kalau org tny pasal pantai die .
Post a Comment