Berhati-hati apabila mandi di pantai. Bilangan obor-obor
bertambah semasa musim mengawan yang berlaku pada bulan Mei hingga Jun.
Pelajari rawatan kecemasan untuk menangani kes sengatan obor-obor.
Syafie Naswip Terima Tujuh Suntikan Digigit Obor-Obor
11 Jun 2012
PETALING JAYA: Pelakon remaja, Syafie Naswip, menerima nasib
malang kerana
digigit obor-obor ketika sedang mandi di Pantai Batu Empat, Pantai Port
Dickson, Negeri Sembilan selepas tamat penggambaran drama bersiri Miscinta Rabu
lalu.
Syafie, 20, ketika dihubungi mStar Online pada Isnin
berkata, akibat kejadian itu dia terpaksa menerima tujuh suntikan selepas
mendapatkan rawatan di Hospital Port Dickson, selama dua jam bagi mengurangkan
bisa dalam badan.
"Semasa kejadian saya dan beberapa krew drama Miscinta
telah mandi di pantai itu bagi meraikan tamat penggambaran drama tersebut yang
telah selesai kira-kira pukul 6.45 petang pada hari berkenaan.
"Bagaimanapun setelah hampir 10 ke 15 minit saya mandi
tiba-tiba lengan sebelah kanan saya telah disengat oleh obor-obor sehingga
menyebabkan rasa sakit seperti terkena renjatan elektrik. Krew lain yang mandi
tidak mengalami gigitan tersebut," ujarnya.
Tambah Syafie, walaupun doktor mengesahkan kecederaannya itu
tidak serius, kesakitan akibat bisa obor-obor itu masih dapat dirasainya
walaupun telah diberi tujuh suntikan.
Dalam pada itu, Syafie berkata, dia juga telah membuat
pemeriksaan susulan di sebuah hospital di Kuala
Lumpur dan keadaannya sudah beransur pulih.
"Alhamdulillahlah doktor memberitahu keadaan saya
semakin pulih namun diarahkan berehat dengan secukupnya. Sepanjang minggu lalu
badan saya terasa begitu lemah," katanya.
Bagaimanapun kata Syafie, dia tidak dapat berehat lama
kerana bakal kembali ke set penggambaran Miscinta yang akan dihasilkan dalam
bentuk telefilem pada Isnin (hari ini).
Syafie memberitahu, selain drama itu, dia juga akan muncul
dengan telefilem lain berjudul Cikgu Saodah arahan Azman Nor untuk siaran RTM.
SENGATAN obor-obor berupaya mengakibatkan kematian pada
mangsanya seperti yang terjadi di Pulau Langkawi yang dilaporkan dalam akhbar
baru-baru ini.
Misalnya bilangan obor-obor bertambah semasa musim mengawan
yang berlaku pada bulan Mei hingga Jun.
Cara-cara mengelakkan sengatan obor-obor
Sengatan obor-obor sering kali berlaku dalam keadaan berikut
:
- Sengatan yang paling kerap adalah semasa obor-obor
terapung di permukaan air ketika mangsa memasuki atau berenang di dalam air.
- Serpihan sesungut yang terpisah dari badan obor-obor akibat
dari laut bergelora seperti semasa ribut. Sesungut ini walaupun telah terpisah
dari badan berupaya mengeluarkan bisa apabila serpihan sesungut bersentuhan
dengan manusia.
- Serpihan sesungut yang terdampar di persisiran pantai juga
berupaya membebaskan bisa apabila dipijak.
- Sengatan obot-obor lebih kerap terjadi apabila bilangannya
di dalam laut bertambah.
Bahan rawatan
Antaranya termasuklah sodium bikarbonat (serbuk penaik yang
digunakan untuk kek), asik borik, alkohol, larutan cucian amonia dan jus limau
nipis.
Bahan-bahan ini dapat bertindak menukarkan tahap, keasidan
(pH) di bahagian tubuh yang tersengat dan meredakan rasa kesakitan.
Langkah bantuan kecemasan yang disyorkan selepas itu adalah
seperti berikut :-
- Basuh kawasan sengatan dengan air laut.
- Jika sesungut obor-obor terdapat di atas kulit, gunakan
perkakas bersesuaian seperti garpu atau memakai sarung tangan untuk membuang
sesungut tersebut.
- Kawasan sengatan kemudiannya direndam dalam larutan cuka
(50 peratus) selama 30 minit.
- Selepas itu, tuangkan bancuhan tepung atau serbuk penaik
(baking powder) ke atas tempat sengatan dan gunakan pisau untuk mengikis keluar
nematosit yang tertanam dalam kulit kita.
- Ulangi basuhan cuka ke atas tempat tersebut dan sapukan
krim yang mengandungi antihistamin, analgesik dan steroid (seperti betnovat)
pada kawasan sengatan. Jika perlu, gunakan air untuk menghilangkan rasa sakit.
- Bawa mangsa berjumpa doktor dengan segera.