KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

1/4/13

Tabung masjid, tongkat khatib kini jadi sasaran pencuri



Sinar Harian 4 Jan 2013 , DUNGUN – Tindakan biadab penjenayah menceroboh masuk selain mencuri harta benda masjid dilihat satu fenomena baru yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Timbalan Pengerusi Masjid Kampung Baru Kuala Abang, Mustapa Awang berkata, sehingga kini, sudah empat kali masjid dibina sejak lebih tiga tahun lalu itu dipecah masuk pencuri.

Mustapa berkata, peti tabung masjid menjadi sasaran utama pencuri kerana setiap kali berlakunya kes kecurian, peti tabung yang digunakan untuk menyimpan wang derma jemaah turut lesap.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Kuala Abang, Mohd Nasir Hashim berkata, sebelum ini, sebatang tongkat digunakan oleh Khatib untuk membaca khutbah yang diletakkan di mimbar masjid, juga turut hilang dikebas pencuri.

Katanya, kejadian seumpama itu bukan pertama kali, malah sudah beberapa kali berlaku biarpun ada usaha dilakukan ahli jemaah untuk mengunci pintu utama masuk ke masjid yang mampu menampung lebih 1,000 jemaah pada satu-satu masa itu.

Menurut Nasir, sebelum ini besi penutup longkang juga turut hilang beberapa kali dikebas pencuri.

“Kita juga sudah tidak tahu bagaimana hendak mengatasi masalah ini.

“Mungkin dengan pemasangan kamera litar tertutup dapat membantu mengenal pasti suspek yang sering mencuri harta benda masjid, sekurang-kurangnya risiko kecurian dapat dikurangkan,” katanya.

No comments: