Kita harap pihak Kementerian Pelajaran
dapat menyiasat kesahihan aduan di bawah ini, samada benar atau
tidak, serta memberi penjelasan yang sewajarnya.
Sekolah Kerajaan tidak menyahut hasrat
kerajaan
Aduanrakyat.com 18 Jan 2013
Hasrat kerajaan dalam frasa “Rakyat
didahulukan, pencapaian diutamakan” dilihat tidak dijalankan
sepenuhnya oleh sebuah sekolah kerajaan di daerah Kota Kinabalu yang
berhampiran dengan lapangan terbang antarabangsa AirAsia. Sekolah ini
mempunyai hampir 1000 orang murid sekolah tahun 1 hingga tahun 6 dan
terletak 7 kilometer daripada bandaraya Kota Kinabalu.
Pendaftaran bagi tahun 2013 di sekolah
tersebut ternyata mengejutkan ramai pihak terutamanya ibu bapa kerana
bayaran yuran sekolah yang terlalu tinggi bagi murid-murid yang ingin
menyambung persekolahan pada tahun 2013. Sebelum ini, kerajaan telah
memansuhkan yuran sekolah di seluruh sekolah kerajaan namun begitu,
keadaan ini tidak terjadi di sekolah yang dinyatakan. Bayangkan,
murid-murid tahun 6 perlu membayar yuran melebihi RM200 manakala
murid-murid tahun 1 pula perlu membayar sebanyak RM130.
Hal ini tidak seharusnya terjadi kerana
sekolah memaksa murid-murid sekolah untuk membeli kelengkapan sekolah
yang disediakan oleh koperasi sedangkan ibu bapa telah menyediakan
bahan-bahan tersebut sebelum anak-anak masuk ke sekolah. Harga
kelengkapan yang disediakan oleh koperasi sekolah pula adalah lebih
mahal berbanding harga pasaran. Begitu juga dengan pakaian sukan,
tali leher bagi lelaki dan sebagainya perlu dibayar oleh ibu bapa
sedangkan anak sudah memiliki kelengkapan tersebut sebelum ini pada
musim persekolahan yang lepas. Perkara ini sangat tidak relevan dan
perlu diketahui oleh khalayak. Kita tidak mahu wujudnya diskriminasi
antara sekolah-sekolah kerajaan yang yuran sekolah tidak mencecah
RM30 hingga RM50 walaupun terletak di daerah yang sama.
Walaupun bagi sesetengah ibu bapa,
yuran tersebut tidaklah terlalu tinggi tapi jika kita lihat dari
sudut lain di mana terdapat ibu bapa yang hanya bekerja secara
kontrak terpaksa menghantar dua atau tiga orang anak ke sekolah
tersebut. Perkara ini sangat membebankan bagi mereka dan kita sebagai
masyarakat yang bertanggungjawab haruslah peka terhadap keadaan
mereka yang kurang bernasib baik tetapi mahukan anak-anak mereka
berjaya dalam pendidikan.
Namun begitu, pada kali ini saya
merasakan yuran sekolah tersebut terlalu mahal iaitu dalam kadar
melebihi RM100 hingga RM200. Sebelum ini, yuran sekolah tersebut
tidak pernah mencecah RM100 walaupun pada hakikatnya yuran sekolah
kerajaan lain sebelum ini hanya RM20 atau RM30 sahaja. Saya dapat
membandingkan sendiri yuran sekolah yang berdekatan dengan sekolah
ini yang sangat jauh berbeza iaitu sebanyak 80 peratus. Perkara ini
sangat mengejutkan saya kerana beberapa orang anak saya yang kini
bekerja di sektor kerajaan dan menyambung pengajaran di peringkat
university pernah bersekolah di tempat yang sama beberapa tahun yang
lalu tidak pernah dikenakan bayaran yuran yang terlalu tinggi
walaupun pada ketika itu yuran persekolahan belum lagi dikurangkan
atau dimansuhkan.
Seperkara lagi yang ingin saya nyatakan
ialah bantuan persekolahan RM100. Adakah pihak kerajaan menyatakan
syarat-syarat bagi menerima bantuan tersebut? Di sekolah ini berlaku
satu perkara yang diambil kira sebagai ugutan kepada para ibu bapa,
murid-murid sekolah diberitahu bahawa ibu bapa yang tidak hadir pada
mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), tidak akan diberikan
bantuan kerajaan sebanyak RM100 tetapi sebaliknya perlu membayar
pihak sekolah RM25. Sekiranya perkara ini benar-benar berlaku semasa
penyerahan bantuan tersebut bagi tahun ini, saya merasakan tindakan
pihak pentadbir sekolah ini adalah keterlaluan kerana ibu bapa juga
mempunyai komitmen lain seperti kerja selain menghadiri mesyuarat
PIBG sekolah. Saya tidak akan menghadiri mesyuarat tersebut untuk
melihat sejauhmana kebenaran pihak pentadbir sekolah terhadap perkara
ini. Saya juga tidak akan mendiamkan diri sekiranya perkara ini
benar-benar terjadi kerana penyerahan bantuan persekolahan RM100
dijangka akan diberi pada 15 Januari 2013.
Kenyataan saya di sini hanyalah luahan
hati seorang ibu yang prihatin dan merasakan sendiri keadaan sebenar
menyekolahkan anak di sebuah sekolah kerajaan yang kurang peka dengan
hasrat negara dan masyarakat sekeliling. Saya berharap pihak
pentadbir sekolah dapat diberikan kesedaran agar setiap pentadbir
boleh menyahut hasrat yang dilaksanakan oleh kerajaan secara sama
rata.
By: ibu prihatin
No comments:
Post a Comment