Harian Metro 19
Feb 2013
“Tragedi ini
dapat dielakkan jika lif itu diselenggara secara berkala dengan baik. Saya
kesal kerana isteri saya menjadi mangsa akibat sikap sambil lewa ini,” kata
Rafie Johar, 37, yang kematian isteri akibat lif dinaiki di Pangsapuri Blok
A25, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, terhempas dipercayai kerana
kabelnya putus.
Dalam kejadian
jam 5 petang Jumaat lalu, mangsa, Zamelia Isharuddin, 38, menaiki lif itu dari
tingkat lima bangunan didiami untuk turun ke tingkat bawah bagi mengambil wang
hasil perniagaan nasi lemak yang dijalankan secara sambilan.
Rafie berkata,
lif di pangsapuri itu sudah lama bermasalah dan hanya satu daripada dua mesin
pengangkat itu boleh digunakan. “Kemungkinan kabel lif yang boleh digunakan itu
sudah ‘haus’ kerana tidak diselia atau diperiksa pengurusan kediaman ini,”
katanya.
Menurutnya, dia
hanya mengetahui nahas ngeri membabitkan isterinya itu selepas dimaklumkan
beberapa jiran yang tinggal berhampiran pangsapuri 10 tingkat itu.
Menurutnya,
beberapa jiran yang terkejut selepas mendengar dentuman kuat itu segera
menghubungi bomba dan penyelamat sebelum isterinya berjaya dikeluarkan dari
dalam lif berkenaan.
“Ketika itu,
isteri tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Seri Manjung bagi
mendapatkan rawatan kecemasan. Keadaan Zamelia amat kritikal berikutan tengkuk
dan kepalanya turut dihentak kabel besi lif yang putus itu.
“Doktor
bertungkus-lumus menyelamatkannya sebelum isteri menghembuskan nafas terakhir
pada jam 12.15 tengah hari Sabtu lalu,” katanya.
Rafie berkata,
dia tidak dapat menahan rasa sedih berikutan kehilangan isteri dalam tragedi
yang amat mengerikan itu.
Difahamkan,
jenazah mangsa dibawa pulang untuk dikebumikan di Kampung Sayong Lembah, Kuala
Kangsar.

No comments:
Post a Comment