CUTI JUMAAT

CUTI JUMAAT

2/13/13

Yazid tak pernah ke Syria, tangkapan bermotif politik – Isteri



Keadilan Daily

12 FEB 2013 : Isteri tahanan pertama mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) menyifatkan tangkapan suaminya, Yazid Sufaat tidak munasabah dan bermotif politik.

Anak dan isteri kesal dengan penahanan Yazid.

“Suami saya tak pernah pergi ke Syria, dan tidak mempunyai akses dengan mana-mana pihak di sana. Banyak lagi kes keganasan di Malaysia, kenapa suami saya pula yang ditahan? Alasan penangkapan langsung tak logik dan bermotif politik!” kata Chomel Mohamad ketika dihubungi.

Selain Yazid, kenalannya, Halimah Hussein dan pekerja Yazid, Hilmi Hafim turut dituduh bersubahat di bawah akta yang sama, menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mereka dituduh melakukan kesalahan menjalankan pelakukan perbuatan keganasan dengan niat untuk memajukan suatu tujuan ideologi, dan perbuatan tersebut boleh semunasabahnya dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Syria.

Chomel berkata, tuduhan menggalakkan tindakan keganasan terhadap suaminya adalah serius dan sangat bertentangan peribadi Yazid.

“Yazid (gambar) seorang suami dan ayah yang baik dan penyayang. Tanyalah kepada sesiapa yang kenal Yazid Sufaat, semua boleh jadi saksi berhubung tingkah laku beliau. Tuduhan tersebut adalah melampau,” tempelaknya.

Menurut Chomel, beliau dihubungi Unit Jumpa dari Penjara Sungai Buloh yang mengkehendaki beliau berjumpa suaminya pada 16 Februari sekitar tengah hari.

“Saya akan pergi bersama tiga anak perempuan dan ibu saya untuk beri sokongan pada Yazid. Dia perlu kekuatan semua pihak terutama keluarga terdekat,” kata Chomel.

Jumaat lalu, Timbalan Pendakwa Raya memohon tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin kerana Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 membenarkan penahanan tanpa ikat jamin.

Peruntukan itu juga memberi kuasa kepada polis untuk menahan mana-mana individu selama 48 jam tanpa bantuan guaman.

Pada masa ini, Yazid yang pernah ditahan di bawah akta ISA dipenjara semula di Sungai Buloh manakala Halimah dibawa ke penjara Kajang sementara nasib Hilmi masih belum diketahui.



No comments: